KUALA LUMPUR – Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, iaitu Ahmad Shah Rizal Ibrahim menafikan dakwaan beliau mengambil dan menyembunyikan wang tunai RM1.3 juta milik isterinya, sselain menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar dan mengelirukan.
Menurutnya, wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun pentadbir pusaka yang tidak boleh diakses oleh sesiapa, termasuk dirinya dan anak tirinya, Mohamed Aqbar Hakim Jasman, selaku pentadbir bersama, sehingga keputusan mahkamah dimuktamadkan.
“Wang itu adalah hasil usaha bersama saya dan arwah. Saya sendiri yang mengisytiharkan jumlah tersebut dalam mesyuarat keluarga selepas pemergian Allahyarham. Sebagai menghormati mahkamah, saya telah memindahkannya ke akaun yang sah dan tidak boleh disentuh,” katanya.
Ahmad Shah Rizal turut menolak tuduhan kononnya dia memakan harta anak yatim dan menyifatkannya sebagai satu fitnah yang disebarkan di media sosial sebelum menerima sebarang perintah rasmi mahkamah.
Dia juga memaklumkan telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan fitnah yang berterusan. Dia juga sebelum ini telah memfailkan saman fitnah pada tahun 2022 dan kes tersebut kini menunggu keputusan mahkamah pada Januari 2026.
“Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan maklumat salah dan memanipulasi isu ini demi kepentingan peribadi,” tegasnya.
Peguamnya, Khairunnasriah Abdul Salam dari Tetuan Zaidah Abdul Salam & Co., menjelaskan bahawa wang tunai itu hanya boleh diagihkan selepas proses pembahagian harta sepencarian selesai, yang kini masih dalam perbicaraan.
“Sementara itu, wang tersebut tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan Ahmad Shah Rizal memberikan penjelasan bertulis berhubung kegagalannya memulangkan wang tersebut seperti diperintahkan pada 13 Ogos lalu. Namun dia mendakwa tidak menerima sebarang surat rasmi berkaitan arahan itu dan menyatakan wang tersebut masih belum digunakan.
Allahyarham Faziani meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019 ketika dalam perjalanan bersama suaminya ke rumah anak-anak tahfiz untuk menyampaikan sumbangan Ramadan.-UTUSAN