BUKIT MERTAJAM : Jiran kepada dua beranak yang dipercayai mati dibunuh di Kampung Sekolah Juru, di sini malam tadi, memberitahu, suami mangsa sempat datang ke rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa selepas mengetahui kejadian yang menimpa isteri dan anaknya itu.
Wanita tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 50-an, berkata, lelaki itu bertanya sama ada dia ternampak jika ada kenderaan yang keluar masuk pekarangan rumah sewanya itu atau sebaliknya.
“Dia (suami mangsa) lintas jalan, datang ke arah rumah saya dan terus tanya sama ada ternampak kenderaan mencurigakan keluar dari rumah dia atau tidak.
“Lepas saya kata tak nampak, dia beritahu, isteri dan anaknya kena bunuh. Bila dia cakap macam tu, terus rasa seram dan memang terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.
Seorang lagi jiran, Ideris, 60-an, berkata, dia jarang terserempak dengan keluarga terbabit kerana pasangan suami isteri itu sibuk bekerja.
“Memang jarang nampak mereka dan kalau tak silap saya, suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan isterinya pula tukang masak kantin, tapi tidak pasti pula di mana. Tapi, kalau kami terjumpa, masing-masing akan senyum sebagai tanda menyapa,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, seorang ibu bersama anak perempuannya ditemukan maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Juru, Seberang Perai, kira-kira pukul 8 malam tadi.
Kedua-dua mereka dipercayai ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk tangan yang terputus serta kepala yang hampir putus.
Susulan kejadian itu juga, tular rakaman suara suami mangsa di media sosial yang memaklumkan dengan nada sebak bahawa isteri dan anak perempuannya telah dibunuh sebaik sahaja dia pulang ke rumah.-UTUSAN










