IPOH: Sepasang suami isteri warga emas berusia 78 tahun ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di Desa Lang Indah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat mengenai mangsa diterima pihaknya pada pukul 8.58 pagi selepas dihubungi orang awam tentang pasangan yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, anggota yang hadir di lokasi kejadian telah menjumpai kedua-dua mangsa di dalam bilik dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Tempat kejadian merupakan rumah teres dua tingkat. Pintu masuk rumah tidak berkunci dan pintu pagar juga tidak tertutup rapat semasa kehadiran polis di lokasi kejadian.
“Pasangan suami isteri itu tinggal di rumah berkenaan bersama cucunya. Kali terakhir cucu mereka balik ke rumah pada 24 September lalu dan kedua-duanya dalam keadaan baik dan sihat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, cucu si mati tidak pulang ke rumah sepanjang minggu kerana tinggal di asrama.
“Mangsa lelaki tiada masalah kesihatan manakala isterinya penghidap penyakit parkinson sejak lima tahun lalu dan dijaga oleh suaminya.
“Pemeriksaan pada tubuh pasangan tersebut mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau kesan-kesan pergelutan mahupun pecah masuk rumah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya.
Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN