Kalau boleh Cik Bunga berterus-terang, sebenarnya Cik Bunga bukanlah hendak menyibuk sangat dengan kehidupan peribadi pelakon cantik tanah air yang seorang ini.
Siapa lagi kalau bukan Sophia Al-Barakbah. Cuma, apabila telinga ini sudah selalu sangat dengar yang sebenarnya Sophia kononnya sudah ada kekasih, tetapi memilih untuk sorok-sorok, Cik Bunga jadi terpanggil pula untuk berbicara mengenai hal ini.
Adalah orang dalam industri seni yang beritahu, kononnya lelaki berkaca mata, berkulit sawo matang, yang selalu menemani Sophia ke mana-mana itu sebenarnya adalah kekasih terbaharunya.
Tetapi, apa yang buat kalangan orang industri bercakap-cakap di belakang kerana Sophia kononnya tidak mahu mengakui akan perhubungan itu. Katanya, kawan sahaja.“Tak akanlah sekadar kawan Cik Bunga oi! Kalau sudah berjalan pun berpegangan tangan, tak akanlah itu kawan. Tak perlulah nafikan hal yang betul,”kata sumber Cik Bunga sambil mengunyah sebiji karipap ketika sedang minum petang dengan kita baru-baru ini.
Kata sumber, dia nampak dengan mata kepalanya sendiri Sophia berpegangan tangan dengan jejaka tersebut. Tambahnya, dengar-dengar cerita, Sophia pun sudah lama berteman dengan jejaka itu. Kira kenalan lamalah macam itu.
Tak apalah, mungkin Sophia ada alasan tersendiri kenapa dia tidak mahu terlalu terbuka berbicara mengenai hubungan cinta atau hal peribadinya kepada umum.
Sebelum ini pun, dia sudah ambil pengajaran dengan perhubungan lamanya, barangkalilah… Kita hendak mudah menghukum pun tak boleh. Dia lebih tahu akan hidup dia, betul tak? Doakan yang baik-baik lebih afdal.










