SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menafikan dakwaan kononnya konvoi kapal Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa apa-apa bantuan bekalan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menafikan perkara itu dan sudah menjangkakan naratif yang dimainkan oleh Israel itu dan mengesahkan bantuan bekalan itu masih berada atas kapal flotilla berkenaan.
“Saya nafikan apa yang mereka katakan kerana daripada awal kita juga berkongsi (bawa bantuan bekalan) di dalam media sosial kita sama ada GSF dan Sumud Nusantara.
“Kali terakhir, bekalan bantuan itu dihantar oleh Agensi Bulan Sabit Merah Turkiye (Kizilay) menggunakan kapal tentera laut Turkiye, malah sempat menambah bantuan yang ada,” katanya dala, sidang akhbar di sini malam ini.
Katanya, beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jumlah muatan bekalan bantuan itu serta nilainya kerana ia dipindahkan ke beberapa kapal lain disebabkan ada beberapa kapal yang tidak dapat meneruskan misi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan dibuat polis Israel kononnya tiada bekalan kemanusiaan ditemui dalam mana-mana daripada 40 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Menurut laporan Jerusalem Post, siasatan dan penggeledahan kapal berkenaan hanya menemui aktivis serta penumpang, namun tiada sebarang barangan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan atau keperluan asas.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa sejak peringkat awal di Barcelona, Itali, Tunisia, Greece dan Malta, kami telah berkongsi bukti bergambar berkaitan bantuan yang dibeli dan dimuatkan ke dalam kapal.
“Saya percaya, perkongsian ini menjadi bukti sahih dan fakta kukuh kepada semua pendokong misi di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN