SNCC bayangkan semua kapal GSF tidak akan berjaya mendarat di pantai Gaza

SNCC bayangkan semua kapal GSF tidak akan berjaya mendarat di pantai Gaza

AHMAD Sani Araby Al-Kahery menunjukkan 17 rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel di Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC) Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) membayangkan kesemua 44 buah kapal konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak akan berjaya mendarat di pantai Gaza.

Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, gambaran itu dibuat berdasarkan corak pintasan dibuat oleh tentera Israel terhadap kapal flotilla itu ketika ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, konvoi kumpulan kapal itu sama ada lambat atau cepat pasti akan dipintas oleh tentera Israel.

“Saya membuat perangkaan bahawa keseluruhan kapal ini akan cepat ataupun lambat akan dipintas atau diarah untuk mengikut laluan yang ditetapkan.

“Oleh kerana ini adalah misi bukan keganasan, kita terima dan kita berunding dengan baik dengan pihak tentera Israel melalui radio.

“Malah, mereka (tentera Israel) juga bercakap dengan baik dengan peserta kerana dunia melihat situasi genting ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mengharapkan misi ini dan fasa seterusnya tidak akan melibatkan sebarang tindakan ganas ataupun provokasi daripada pihak Israel.

“Apapun, kita tidak boleh senang diri dan kita perlu melihat apa sahaja jangkaan-jangkaan yang mungkin akan timbul ada lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Sani Araby berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak Israel berkenaan situasi delegasi Malaysia itu.

“Kita jangkakan mungkin sedikit masa lagi akan berlaku rundingan dan kita harapkannya semua berjalan dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN