KUALA LANGAT: Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya di sini di antara bangunan yang terjejas teruk akibat kejadian ribut yang berlaku di daerah ini, petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, beberapa bangunan di sekitar Meru, Klang dan Sijangkang, di sini, turut terjejas akibat fenomena berkenaan.
“Kami terima maklumat berhubung kejadian ribut di sekitar kawasan Meru dan Kuala Langat, namun setakat ini belum diperoleh jumlah sebenar rumah terjejas atau sama ada membabitkan mangsa.
“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serba Guna Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Meru masih beroperasi dengan 36 individu ditempatkan sejak semalam,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan berlakunya runtuhan bangunan di pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, terdapat mangsa, iaitu seorang wanita berumur 51 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan berkenaan.
“Pada pukul 5.05 petang, mangsa telah berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan peha. Mangsa berada dalam keadaan sedar.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan,” katanya hari ini.
Selain bangunan penyelaras DUN Sijangkang, sebuah surau KAFA yang terletak berdekatan pejabat DUN turut runtuh.
Dalam runtuhan surau itu kata Ahmad Mukhlis, dianggarkan sehingga sembilan orang pelajar KAFA yang menjadi mangsa namun semua dalam keadaan selamat.
“Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan kini sedang dirawat oleh pegawai KKM yang berada di lokasi kejadian,” ujarnya. – UTUSAN










