Siti Saleha bergelar Profesor Adjung Taylor University - Utusan Malaysia

Siti Saleha bergelar Profesor Adjung Taylor University

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Siti Saleha, 35, kini bergelar Profesor Adjung Sarjana Muda Seni Persembahan Taylor University. 

Gembira dengan pelantikan itu, Siti menganggap tugas yang dipertanggungjawabkan sebagai amanah yang besar. 

“Walaupun ini pertama kali saya terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, saya yakin, dengan kerjasama dan bimbingan daripada pihak universiti, segala usaha ini dapat dilaksanakan dengan baik. 

“Saya mahu memberi sumbangan kepada pelajar, bukan sekadar berkongsi ilmu seni persembahan, tetapi juga cara membina keyakinan diri, kreativiti, dan semangat dalam  berkarya.

“Saya juga ingin menjadi jambatan yang menghubungkan bidang seni dengan pendidikan, memberi inspirasi kepada pelajar agar mereka berani berekspresi, berfikir di luar kotak dan menjadikan seni sebagai medium komunikasi dan penyembuhan.

“Diharapkan kita dapat melahirkan pelapis penggiat seni yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berfikiran kritikal, berjiwa empati, dan berkemampuan untuk membawa naratif Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui karya dan nilai kemanusiaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, lantikan pelakon itu diumumkan menerusi Instagram taylorsperformingarts hari ini.

“Kami ingin mengalu-alukan pelakon Malaysia yang juga pemenang anugerah, Siti Saleha selaku profesor adjung kami!

“Berbekalkan pengalaman dalam industri televisyen dan perfileman, beliau bakal berkongsi pandangan dan menyuntik inspirasi untuk program Sarjana Muda Seni Persembahan kami.

“Selamat datang, Profesor Adjung Siti Saleha!” tulisnya. 

Berita gembira itu turut dikongsi suami pelakon tersebut, Joshua Fitton menerusi satu hantaran di Instagram. 

“Hari pertama isteri saya sebagai pensyarah…juara,” kongsinya di Instastory.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN