PETALING JAYA: Sistem kewangan Islam tidak harus laih (daif) dan lesu dengan tradisi lama.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu berevolusi, memenuhi tuntutan hari ini, malah berupaya memimpin penyelesaian yang ampuh untuk kesejahteraan ummah.
“Kerajaan telah merintis model pembiayaan berasaskan perkongsian risiko seperti musyarakah dan murabahah serta kaedah pembiayaan campuran.
“Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) berhasrat menjadi Hab Kewangan Islam Digital. Inisiatif Global Tokenisasi Sukuk diperkenalkan bagi mendigitalkan sukuk secara telus serta boleh diniagakan secara runcit melalui bursa-bursa digital di Labuan IBFC.
“Sukuk Iklim juga diperkenalkan bagi pembiayaan projek hijau serta pemberian dividen kewangan berbentuk kredit karbon,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
iTEKAD dengan dana padanan RM35 juta akan diperluas bagi menyediakan geran padanan kepada penerima yang ingin meningkatkan kemahiran mereka untuk pekerjaan, sekali gus memperoleh peluang kerjaya dengan pendapatan lebih stabil. – UTUSAN










