Sindiket semakin canggih, kehilangan cukai negara semakin sukar dikesan

Sindiket semakin canggih, kehilangan cukai negara semakin sukar dikesan

HASIL imbasan ‘barcode’ setem palsu di rokok haram menunjukkan keputusan suspicious.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan rokok dan arak kini semakin licik apabila dikesan menggunakan setem cukai palsu bagi memperdaya pihak berkuasa, penjual serta pengguna, sekali gus menambah cabaran besar dalam usaha mengekang
aktiviti jenayah ini.

Kewujudan setem cukai palsu bukan sahaja merugikan hasil kerajaan, malah membuktikan sindiket penyeludupan semakin berani memanipulasi kelemahan kawalan.

Setem ini kelihatan seakan-akan tulen pada pandangan mata kasar. Namun, siasatan mendapati ia tidak berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Inilah helah baharu untuk meloloskan rokok dan arak haram di pasaran.

Isu setem cukai palsu perlu diberi perhatian serius kerana ia menjejaskan pasaran sah serta membuka ruang lebih luas kepada kegiatan pengubahan wang haram.

Berdasarkan laporan Pasaran Rokok Haram di Malaysia (ICS) pada Mei 2025 oleh Nielsen, rokok haram menguasai 54.5 peratus pasaran bersamaan dengan 697 juta batang rokok haram dijual.

Secara keseluruhan, sejak tahun 2020 hingga 2024, purata jualan rokok haram kekal lebih tinggi berbanding rokok sah. Sebagai contoh, pada 2020 sahaja, sebanyak 11.7 bilion batang rokok haram dijual, hampir dua kali ganda daripada 6.7 bilion batang rokok sah.

Walaupun Jabatan Kastam dan Kerajaan Malaysia telah berjaya mengurangkan perdagangan rokok haram sebanyak 9.3%, penggunaan setem cukai palsu menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun 2020.

Laporan ini juga menyoroti peningkatan penggunaan setem cukai palsu pada rokok haram. Setem palsu ini sukar dibezakan dengan setem cukai asli, menjadikannya cabaran besar bagi pihak berkuasa dalam usaha mengesan dan menyekat penyeludupan rokok haram.

Terdapat 10 jenama utama dikesan menguasai lebih 40 peratus jumlah keseluruhan rokok haram yang dijual di Malaysia. Sehingga Mei 2025, jenama John mencatatkan penguasaan tertinggi iaitu 12.5 peratus, diikuti Era (7.8 peratus) dan Canyon (3.9 peratus).

Turut tersenarai ialah Bosston (3.4 peratus), Concept (3.2 peratus), Misto (2.6 peratus), Gudang Garam (2.6 peratus), LA (2.5 peratus), U2 (1.9 peratus) dan Parkway (1.2 peratus).

Dalam pada itu, antara jenama paling banyak dikesan bersetem cukai palsu ialah Bosston (3.4 peratus), Concept (3.2 peratus) dan Misto (2.6 peratus), diikuti Promax, Pragon, Galaxy, A380, 9th Century, Manchester dan 6th Sense.

Sejumlah 71 peratus rokok haram di negara ini tidak mempunyai sebarang setem cukai, manakala 29 peratus lagi menggunakan setem cukai palsu, sekali gus menuntut penguatkuasaan lebih agresif.

Negeri-negeri dengan kadar tertinggi pasaran rokok haram adalah seperti Pahang yang merekodkan 77.8 peratus, diikuti Sabah (77.2 peratus) dan Sarawak (78.3 peratus), sekali gus menjadikan tiga negeri ini antara kawasan paling kritikal dibanjiri rokok haram.

Turut mencatat angka membimbangkan ialah Terengganu (71.7 peratus) dan Labuan (68.4 peratus), manakala beberapa negeri lain termasuk Melaka (61.9 peratus), Kelantan (61.4
peratus) serta Kedah (54.9 peratus) juga menunjukkan kadar lebih separuh pasaran dikuasai produk haram.

Bagi kawasan Lembah Klang, Selangor merekodkan 43.8 peratus, manakala Kuala Lumpur 39.6 peratus.  Putrajaya pula mencatatkan 35.6 peratus.

TINJAUAN DI KEDAI RUNCIT

Wartawan Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di kedai-kedai runcit  sekitar Lembah Klang mendapati sekurang-kurangnya lima jenama utama dijual di bawah harga minimum
yang ditetapkan kerajaan.

Sebahagian besar lain dijual pada harga mencurigakan yang jauh lebih murah daripada harga pasaran sah di bawah RM10 berbanding harga rokok sah melebihi RM12.

Perbandingan secara visual antara setem palsu dengan setem cukai rasmi  mendapati tidak nampak banyak perbezaan ketara dari segi cetakan, kod keselamatan dan ciri hologram.

Setem cukai palsu bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya satu bentuk jenayah terancang yang menjejaskan hasil negara, memberi keuntungan besar kepada sindiket dan membahayakan kesihatan awam.

Dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di premis menjual rokok pada 1 Oktober, semua pihak menantikan ketegasan kerajaan dalam menutup ruang manipulasi sindiket, khususnya syarikat yang cuba memperbaharui lesen import mereka.

HILANG DUIT EKSAIS DAN JEJAS KESIHATAN RAKYAT

Memberitahu Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Kastam, Bahagian Penguatkuasaan KLIA, Kamal Fareez Muzahar berkata, rokok bercukai ada setem cukai yang tulen yang ditampal pada kotak rokok manakala rokok haram tiada setem cukai atau
menggunakan setem palsu.

Jelasnya, trend penyeludupan rokok haram semakin berleluasa terutama pengimportan rokok haram dari negara China yang secara langsung merugikan negara kerana rakyat tidak membayar duti eksais dan cukai jualan kepada kerajaan Malaysia.

“Pihak JKDM mendapati setem cukai palsu turut berlaku pada arak. JKDM turut membangunkan satu aplikasi untuk menyemak setem palsu yang sudah tersedia iaitu ‘Setem Cukai’.

“Berdasarkan penguatkuasaan di KLIA sahaja dalam tempoh lima tahun, sejumlah RM7.9 juta nilai rokok berjaya dirampas melibatkan kehilangan hasil cukai bernilai RM54.4 juta.

“Antara jenama rokok seludup yang pernah dirampas ialah Manchester Royal, Canyon Premium, Double Happiness, Great Wall dan Luxi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai menjauhi rokok haram kerana tembakau yang digunakan tidak sama kualiti dengan rokok yang sah. Ini bolehmembahayakan nyawa perokok. Para pengguna boleh memastikan hologram pada setem cukai di kotak rokok adalah tulen.

Untuk memastikan ketulenan rokok itu, pengguna boleh mengimbas ‘barcode’ yang terdapat pada setem yang dilekatkan pada rokok tersebut melalui aplikasi ‘Setem Cukai’. Jika rokok itu tulen, keputusan imbasan pada aplikasi itu akan memaparkan perkataan ‘valid’ atau sah dengan maklumat terperinci tentang rokok itu.

Pihak JKDM juga melaksanakan tindakan penguatkuasaan dalam menjejaki rantaian bekalan untuk mengenal pasti di mana setem palsu diperkenalkan. Pada masa yang sama, analisis bukti di lokasi dilaksanakan bagi perbandingan setem yang disita dengan setem sah, selain pemeriksaan pengedaran karton atau kontena.

Selain itu, tindakan penyiasatan jejak dokumen pengimportan atau lesen dan rekod pengedaran dilaksanakan sebagai sebahagian siasatan terhadap syarikat yang terlibat. Kerjasama dan perkongsian maklumat antara agensi  turut dilakukan dalam kawal selia produk tembakau untuk menyemak pendaftaran SKU atau kelulusan import.

JKDM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ejen kastam atau pengimport yang melanggar peraturan atau gagal melaksanakan tadbir urus serta etika dengan sewajarnya serta mematuhi Kod Etika Ejen Kastam.

Baru-baru ini, pemangku Ketua Pengarahnya, Datuk Norlela Ismail berkata, tindakan itu boleh merangkumi penggantungan atau pembatalan kelulusan dan lesen import, pendakwaan di bawah undang-undang, atau menyenaraihitamkan pihak terlibat daripada berurusan dengan jabatan.

Antara Januari 2023 hingga Mei 2025, katanya, JKDM telah menggantung atau membatalkan kelulusan terhadap 898 syarikat kerana gagal mematuhi peraturan. Peningkatan ketara pada tahun  2025 dengan 758 pembatalan adalah hasil audit pematuhan yang dijalankan secara menyeluruh oleh Unit Kawalan Ejen Kastam di seluruh Malaysia.

Bagi lesen import melibatkan rokok, tembakau dan minuman keras pula, sebanyak 21 lesen telah dibatalkan atau digantung dalam tempoh sama kerana pelanggaran syarat lesen.

Sementara itu, Presiden Persatuan Integriti Dan Governans Malaysia (MIG), Datuk Seri Dr. Akhbar Satar berpendapat, hukuman sedia ada mungkin belum mencukupi untuk mengekang sindiket penyeludupan berprofil tinggi ini.

Mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, pesalah boleh dikenakan hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan didenda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Hukuman penjara adalah tidak mandatori.

”Jika sekiranya mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara atau hanya dengan denda sahaja, maka kegiatan sindiket rokok seludup tidak dapat dikurangkan,” katanya.

Justeru, satu pendekatan baharu amat diperlukan, termasuk mengkaji semula undang-undang, menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk penggunaan teknologi pemantauan digital, kecerdasan buatan, pengesanan rantaian logistik serta latihan dan kerjasama rentas agensi di peringkat domestik serta antarabangsa.

Pada masa sama, tindakan pembatalan atau penggantungan lesen import kepada pengimport yang didapati melanggar undang-undang atau syarat lesen, termasuk membawa masuk produk dengan setem cukai palsu perlu dilaksanakan secara tegas.

Ini termasuk penarikan balik kelulusan perdagangan atau kelulusan import ejen/pengimport dalam kes ketidakpatuhan. Selain itu, pengimport atau ejen wajib disenarai hitam daripada berurus niaga dengan pihak kastam jika didapati  terlibat dalam kesalahan seperti ini.

Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1800888855. Pihak jabatan memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN