Sindiket penyeludupan sorok kenderaan mewah di parkir kondominium elak diserbu - Utusan Malaysia

Sindiket penyeludupan sorok kenderaan mewah di parkir kondominium elak diserbu

WAN Jamal Abdul Salam Wan Long menunjukkan sebahagian kenderaan mewah yang dirampas selepas menyerbu kawasan parkir di kondominium di Johor Bahru semasa sidang media di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan membongkar taktik licik sindiket penyeludupan yang menyembunyikan pelbagai kenderaan mewah bernilai RM1.22 juta termasuk cukai selepas menyerbu kawasan parkir kondominium di sekitar Johor Bahru.

Dalam operasi lima hari bermula 1 September lalu itu, JKDM Kelantan merampas tujuh buah kenderaan mewah yang dipercayai diseludup dari Singapura.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjadikan kawasan parkir di kondominium sekitar Johor Bahru sebagai transit sementara sebelum menjual kenderaan tersebut kepada pelanggan di seluruh negara.

“Antara kenderaan yang dirampas ialah Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Toyota Vellfire, Mercedes-Benz dan Honda Jazz.

“Kebanyakan kenderaan seludup itu dijual 35 hingga 40 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Kelantan di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, JKDM Kelantan telah merampas 47 unit kenderaan seludup dengan nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM6.38 juta.

Katanya, kejayaan itu hasil maklumat awam dan tindakan pantas anggota JKDM di lapangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN