PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN dijangka memberi impak besar terhadap hala tuju ekonomi serantau, khususnya dalam memperkukuh kerjasama perdagangan intra-ASEAN.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Malaysia memikul tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN.
“Ini bukan sahaja dalam memastikan aspek keselamatan terjamin, tetapi juga dalam melicinkan perjalanan rundingan agar semua delegasi dapat bermesyuarat secara diplomatik dan mencapai keputusan yang bersifat menang-menang.
“Sidang kali ini turut menarik perhatian dunia apabila ia berlangsung di tengah-tengah ketegangan geopolitik global yang melibatkan dua kuasa ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Kedua-dua negara berkenaan bukan sahaja menjadi peneraju kepada dua blok perdagangan utama dunia iaitu kumpulan G7 yang diterajui AS dan BRICS yang diterajui China, malah turut membawa agenda ekonomi masing-masing yang berbeza hala tuju,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, krisis perdagangan antara kedua-dua kuasa itu kembali memuncak selepas Presiden AS, Donald Trump, memperkenalkan tarif import baharu terhadap beberapa negara pengeksport ke AS pada April lalu.
“Tindakan itu mencetuskan ketidaktentuan dalam rantaian perdagangan global serta menjejaskan kestabilan struktur ekonomi dunia yang telah terbentuk sejak beberapa dekad,” ujarnya.
Beliau berkata, kepentingan ASEAN dalam perdagangan dunia juga semakin menyerlah apabila rantau ini terus berperanan sebagai laluan perdagangan utama global melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Menurutnya, bagi China, ASEAN merupakan rakan dagang terbesar dan memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan serta logistik perdagangan republik itu ke seluruh dunia.
“Hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua pihak dilihat menjadi tonggak utama kestabilan dagangan serantau.
“Sementara itu, AS secara tradisinya mempunyai pengaruh besar di ASEAN, dengan banyak syarikat multinasional (MNC) beroperasi di rantau ini sejak beberapa dekad lalu.
“Kehadiran MNC tersebut menjadi komponen penting kepada dominasi globalisasi AS di Asia Tenggara.
“Namun, pemerhati ekonomi berpendapat pengaruh China kini semakin kukuh di hampir semua negara ASEAN, manakala pengaruh AS dilihat sedikit berkurangan walaupun masih kuat di beberapa negara seperti Filipina dan Singapura,” ujarnya.
Mengulas lanjut, jelasnya, pergeseran antara Thailand dan Kemboja turut menjadi perhatian pada persidangan ASEAN kali ini, susulan usaha diplomatik di Kuala Lumpur yang sebelum ini berjaya meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.
“Bagaimanapun, situasi itu masih menjadi tumpuan dunia ekoran isu berkenaan belum selesai sepenuhnya, ditambah pula dengan hasrat Donald Trump untuk hadir ke Kuala Lumpur sebagai ‘pelakon utama’ dalam usaha perdamaian dua negara ASEAN tersebut,” katanya. – UTUSAN










