KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta Sidang Kemuncak Berkaitan menyaksikan ibu negara Malaysia menjadi saksi kehadiran ramai pemimpin dunia bermula hari ini.
Antara yang hadir Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa; Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menterinya, Kay Rala Xanana Gusmao.
Ketibaan mereka turut disertai beberapa pemimpin lain termasuk Menteri Luar Finland, Elina Valtonen; Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn; Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas; Menteri Luar Indonesia, Sugiono; serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago.
Turut hadir pemimpin antarabangsa lain termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa serta Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah ASEAN.
Sidang kali ini turut menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste ke arah menjadi anggota ke-11 ASEAN yang akan dimuktamadkan pada 26 Oktober ini.
Sidang kemuncak ASEAN kali ini juga berlangsung ketika ekonomi global berdepan tekanan susulan pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat.
Mesyuarat utama yang dijadualkan termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 yang memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan AEC 2025 serta Mesyuarat Pakar+4 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF).
Kedua-dua mesyuarat itu akan membincangkan strategi bagi menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar.-UTUSAN










