Siapa pula bakal ‘menggegar’? - Utusan Malaysia

Siapa pula bakal ‘menggegar’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACAM biasa, menjelang hujung tahun, program kegilaan ramai, Gegar Vaganza akan membuka tirainya. Dan pastinya, sebelum pentas dibuka, ramai sudah berteka-teka siapakah legenda yang akan berentap merebut kejuaraan.

Memang begitulah agenda tahunan. Ramai yang mula mengagak dan menyebut nama beberapa artis kegemaran mereka, dengan harapan mereka akan tersenarai dan merancakkan semula industri seni tanah air.
Cuma bagi pendapat Poklip, ‘gegaran’ program itu semakin lama semakin melemaukan. Entah kenapa. Adakah kerana sudah lebih 10 musim kita dihidangkan resipi sama atau kita sudah ketandusan legenda yang hebat.

Kalau boleh, seperti Poklip, ramai juga yang berharap agar pihak produksi tidak tangkap muat dalam soal peserta. Tetapi hendak buat bagaimana kan, memang susah untuk menyenaraikan artis untuk bertanding.
Ada penyanyi yang memang enggan bertanding di pentas Gegar Vaganza. Poklip dengar nama besar seperti Erra Fazira, Ramlah Ram, Amy Mastura dan ramai lagi dikatakan tidak mahu menyertai pertandingan itu.
Namun ada juga soseh soseh beberapa penyanyi kecewa kerana tidak terpilih sebagai peserta Gegar Vaganza musim ke 12 ini. Entah bagaimana pemilihan peserta, adakah dari sudut populariti atau kriteria tertentu.

Barisan juri Gegar Vaganza juga mempunyai peratusan kepada kejayaan program itu. Poklip juga tertanya-tanya, adakah produksi akan mengekalkan barisan juri tetap sama atau ada perubahan drastik?
Malah siapa duo pengacara juga menjadi tanda tanya. Dalam ruangan komen di media sosial, ada yang menyatakan kebosanan dengan duo pengacara terdahulu. Ada yang mahu nafas baharu, tidak mahu lagi lawak bodoh.

Sejajar dengan prestij dan kehebatan program itu, mungkin pihak produksi perlu ambil kira semua aspek. Cuma sudah terlambat lah kan. Rasanya dalam minggu ini, akan diumumkan siapa peserta Gegar Vaganza 2025.

Poklip juga seperti anda, mahu berteka teki. Maka izinkan Poklip menyenarai empat peserta yang dikhabarkan bakal mengegarkan pentas program paling popular itu.

ASFAN SHAH
Lama juga penyanyi Alasan Untuk Bahagia ini menunggu giliran dipilih sebagai peserta. Tak silap Poklip, dia pernah hadir untuk sesi uji bakat tetapi entah mengapa tidak terpilih. Apa yang kurang ya?
Poklip percaya, jika penyanyi ini hadir bertanding, pasti dia mampu memberi saingan hebat kepada peserta lain. Selama ini dia mungkin mempunyai imej penyanyi pop dan balada kan, tetapi suaranya mampu menyanyikan lagu rock juga ya.

KRISYA
Rasanya-rasanya ini mungkin tekaan yang tepat kerana penyanyi ini juga membuat kemunculan semula sempena filem terbitan Astro Shaw, Keluang Man. Alang-alang sudah comeback, apa salahnya jejak kaki di pentas Gegar Vaganza kan.
Lagi pula, suaranya Krisya masih mantap dan peminat juga ternanti-nanti bagaimana suaranya mendendangkan lagu tradisional, balada dan mungkin dangdut. Ramai yang tidak sabar ini rasanya.

IMRAN AJMAIN
Rasanya sejak Gegar Vaganza 8, nama peserta kelahiran Singapura ini disebut-sebut bakal menyertai program itu. Namun sudah empat musim, ternyata dia masih belum menjejakkan kaki di atas pentas itu.
Ada yang mendakwa, Imran Ajmain terlalu gemuruh dan enggan bertanding. Mungkin dia enggan mengecewakan peminat. Mungkin juga, dia merasakan vokalnya tidaklah sehebat peserta lain.
Tetapi Poklip tidak terkejut kalau tahun ini, dia memberanikan diri untuk bertanding. Lagi pula, lagu baharunya, Seribu Tahun Lagi memang mendunia tahun ini. Jadi tidak mustahil kan? Kita tunggu.

MARK ADAM
Guru vokal ini dikhabarkan bakal mengegarkan pentas program itu tahun ini. Mungkin dia bakal menjadi wakil sulung dari Filipina. Sebelum ini sudah ada wakil Indonesia dan Singapura, mungkin Mark wakil dari negara ASEAN lain.
Kalau diikutkan dari lagu-lagunya popular, mungkin ada yang beranggapan Mark sekadar guru vokal yang menyanyi lagu-lagu santai seperti Si Katak, tetapi Poklip tak terkejut dia adalah antara peserta power vocal untuk musim ini? Nervous!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN