Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan Isnin lalu sekali gus menamatkan teka teki bilakah Negeri Di Bawah Bayu akan berkerajaan baharu dalam tempoh 60 hari.
Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor sebelum itu menghadap Yang Dipertua Negeri , Tun Musa Aman bagi memohon pembubaran DUN. Sejak beberapa bulan lalu, sembang-sembang politik kedai kopi dan alam maya lancar dan bising bagaikan seseorang menumbuk sambal.
Di alam maya, sembang sangat kencang yang berfokus kepada siapa akan mengambill kuasa akan datang, tidak lagi menjadi perkiraan kepada mereka.
Sekali baca, semacam ada rasa putus asa bagi mereka melalui proses demokrasi memilih pemimpin kerana Sabah sudah jauh ketinggalan meski pun kerajaan bertukar tangan dengan ketua menteri daripada individu berbeza.
Saya kata berkerajaan baharu bukan kerana berpihak kepada parti A atau B tetapi dengan banyaknya simpang siur keputusan politik yang dibuat oleh parti parti politik di Sabah, terutama sejak akhir akhir ini, sukar bagi mana mana parti membentuk kerajaan secara solo melainkan bergabung atau membentuk jajaran baharu dengan tawaran yang pelbagai macam.
Hajiji yang kini menyandang jawatan sebagai ketua menteri caretaker government malah sebelum ini menawarkan jawatan timbalan ketua menteri kepada masyarakat Cina, satu jawatan yang beliau tiadakan di bawah kerajaannya.
Perlu diingat sejak zaman pemerintahan kerajaan solo Parti Bersatu Sabah (PBS), jawatan tersebut mula diperkenalkan sebagai gula gula politik menstabilkan kerajaan. Pelantikan tersebut penting bagi mengelakkan parti gabungan kehilangan majoriti tetapi risikonya parti yang ditawarkan jawatan tersebut adalah minoriti dalam gabungan atau penyumbang kerusi dalam jumlah yang kecil.
Saya maksud berisiko kerana parti berkenaan berpotensi meninggalkan gabungan yang meruntuhkan kerajaan jika tuntutan tidak dipenuhi.
Bagi mengelakkan masalah ini, parti-parti gabungan biasanya ditawarkan jawatan pengerusi syarikat syarikat kerajaan jika portfolio menteri sudah dipenuhi parti komponen utama. Formula ini pernah diguna pakai di negara lain seperti Thailand yang melantik jawatan timbalan perdana sehingga lima orang bagi memenuhi tuntutan parti parti komponen minoriti ini.
Isunya siapa juga ketua menteri, jawatan itu sedang dipertikaikan, seolah olah rakyat Sabah sudah hilang keyakinan. Setakat ini kebanyakan yang berada dalam senarai pernah duduk di jawatan tersebut termasuk Hajiji, Datuk Seri Salleh Said dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal manakala bekas ketua menteri Datuk Seri Yong Teck Lee dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri
Bung Moktar Radin juga calon heavyweight.
Mereka ini sudah terlalu senior dalam politik dan hanya sesuai berperanan sebagai mentor kepada orang muda.
Pemimpin lama atau veteran politik ini tidak lagi wajar berada di kerusi ketua kerajaan negeri kerana dibimbangi Sabah sukar mencari pelapis. Diharapkan calon calon muda digalakkan bertanding dan jika menang, mereka perlu ditolak ke saf depan untuk memimpin .
Ini bacaan sebenar saya kepada rungutan kekecewaan, siapa sahaja jadi ketua menteri, parti mana pun sama saja, kata rakyat Sabah.
Pakar Komunikasi Politik, Perhubungan Awam Kerajaan dan Perang Saraf, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad memberitahu saya sentimen tersebut adalah ekspresi kekecewaan yang mendalam, berakar pada pengalaman pahit pengundi.

“Sikap ini, meski pun terasa menolak demokrasi, sebenarnya adalah isyarat bahawa rakyat mendambakan perubahan tulen yang belum mereka saksikan. Kecewa dengan isu berulang seperti pembangunan yang perlahan, rasuah, dan ketidakcekapan dalam tadbir urus, adalah wajar bagi pengundi untuk menjadi pesimistik, “ ujar beliau.
Kata beliau, walaupun terdapat persamaan dalam cabaran yang dihadapi, setiap parti politik dan ketua menteri membawa falsafah, dasar, dan keutamaan yang berbeza. Contohnya, fokus pembangunan infrastruktur, polisi untuk meningkatkan pengembalian hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), atau pendekatan terhadap isu imigresen dan pendatang tanpa izin boleh sangat berbeza.
Kata beliau, sekiranya pemimpin sedia ada dilihat gagal, kuasa untuk menyingkirkan mereka pada pilihan raya adalah alat paling penting yang dimiliki rakyat.
Fakta sebenar menunjukkan bahawa pemimpin yang korup atau tidak cekap akan digantikan, namun perbezaan terletak pada tahap keberanian rakyat untuk menukar undi mereka dan menuntut akauntabiliti secara berterusan.
Katanya, penting untuk mengakui bahawa kepimpinan berbeza boleh dan akan menghasilkan hasil yang berbeza.
“Daripada mengatakan “semua sama,” lebih baik bertanya, “Apakah janji spesifik kali ini, dan bagaimana kita akan memastikan ia dipenuhi?” Kematangan politik bukan sekadar memilih, tetapi memantau dan menekan kerajaan yang dipilih, tanpa mengira parti.
“Dengan menolak pesimisme, pengundi di Sabah boleh menggunakan kuasa undi mereka untuk memilih pemimpin yang memiliki rekod prestasi yang lebih baik dan keazaman politik untuk melaksanakan reformasi yang mendalam dan signifikan, “ ujarnya.
Seorang lagi pensyarah UMS, Dr. Romzi Ationg pula menekankan supaya pilih ketua menteri yang berkualiti.

Ramai pemimpin semasa adalah pemimpin yang telah sekian lama dalam arena politik, maka dianggap mempunyai attitude dan pendekatan yang serupa, dan wujud keinginan untuk melihat orang baharu menguasai politik Sabah.
Selain itu menurut Romzi masalah yang diwarisi, seperti air, elektrik, dan yang lain lain sukar diatasi disebabkan pelbagai faktor seperti sumber yang tidak mencukupi dan kekangan polisi atau prosedur pendanaan projek-projek pembangunan yang amat berliku (birokratik).
Naluri saya juga bersetuju dengan dakwaan bahawa siapa juga ketua menteri Sabah, rakyat tidak menaruh harapan besar kepada sebarang perubahan yang bakal mengubah nasib mereka.
Lebih baik galakkan supaya lebih ramai golongan muda digilap bakat kepemimpinan mereka berbanding daripada terus berharap kepada ‘pemimpin dinosaur’ ini.
Kata Awang Syahruddin , sekiranya ahli politik veteran itu masih berkebolehan, ada visi dan idea yang pragmatik, sebaik-baiknya biarkan dia kekal dalam arena politik atau sekurang-kurangnya jadi mentor kepada ahli politik muda.
“Tidak perlu bersara. hanya perlu beri peluang orang baharu,“ ujar Romzi pula mengulas isu yang sama. –UTUSAN










