Seminggu siapkan mural gergasi Pasar Payang - Utusan Malaysia

Seminggu siapkan mural gergasi Pasar Payang

DHIYAUL Mohamad Ashraf Dawari sedang menyiapkan mural gergasi di Pasar Payang, Kuala Terengganu, Terengganu. – MINGGUAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pelukis mural berjaya me­nyiapkan lukisan bersaiz gergasi di Pasar Payang di sini, hanya dalam tempoh seminggu.

Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, 34, berkata, mural terbesar di Kuala Terengganu itu dilukis bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari dan keseluruhan proses dijalankan dari atas sebuah kren yang di­sewa khas.

Katanya, projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif kolaboratif bersama sebuah syarikat swasta melibatkan penghasilan mural di 13 negeri, dengan Terengganu menjadi lokasi keempat.

“Sepanjang proses menyiap­kan mural ini, saya tidak menghadapi masalah besar, cuma cabaran utama adalah keadaan cuaca yang tidak menentu, terutama ketika hujan. Namun, alhamdulillah saya berjaya menyiapkannya mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Dhiyaul Mohamad Ashraf yang berasal dari Kelantan dan menetap di Selangor berkata, dia mula aktif sebagai pelukis mural sejak 11 tahun lalu dengan banyak memanfaatkan internet sebagai sumber rujukan dan inspirasi dalam mempertingkat teknik serta kemahiran.

“Saya belajar sendiri kerana minat mendalam terhadap seni lukisan dinding. Walaupun saya memiliki Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk dan Multimedia, rezeki saya lebih berpihak kepada bidang mural,” ujarnya.

Katanya, selepas projek di Terengganu yang berukuran 80 kaki panjang dan 20 kaki tinggi itu, dia meneruskan lukisan mural di Perak, diikuti beberapa lokasi lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Ujarnya, walaupun mempunyai pekerja untuk membantu dalam projek-projek tertentu, dia gemar melukis seorang diri, sekiranya pelanggan mahu sentuhan eksklusif.

“Saya ada pasukan tetapi jika pelanggan mahukan hasil kerja saya secara peribadi, saya turun padang dan siapkan sendiri dari awal hingga akhir.

“Namun jika mereka tidak kisah siapa yang buat, saya akan gunakan pasukan untuk membantu, terutama projek berskala besar atau melibatkan masa yang singkat,” katanya.

Sebelum ini, Dhiyaul Mohamad Ashraf berpeluang menghasilkan mural di beberapa negara termasuk Kemboja dan Medan, Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN