BAGAN SERAI: Selepas berjaya dalam misi berjalan kaki ke Mekah sebelum ini, Mohamad Al Bukhari Ellia, 27, akan berbasikal secara solo ke Masjid al-Aqsa dari kampungnya di Changkat Lobak di sini yang mengambil masa lebih setahun untuk tiba di Palestin.
Sebelum ini, Mohamad Al Bukhari dan sahabatnya Mohamad Azizul Abdullah, 35, berjaya dalam misi mereka berjalan kaki ke Mekah dan menunaikan haji.
Mohamad Al Bukhari berkata, untuk kayuhan ke Palestin, dia akan berkayuh seorang diri tanpa sahabatnya, Mohamad Azizul.
Menurutnya, kayuhan itu adalah simbol solidariti terhadap rakyat negara Palestin selain usaha kecil untuk menyemarakkan kesedaran masyarakat Islam mengenai kepentingan mempertahankan Masjid Al-aqsa.
“Saya terinspirasi daripada hadis Rasulullah SAW yang menganjurkan umat Islam menziarahi tiga masjid utama iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
“Atas sebab itu, saya mahu menyampaikan mesej bahawa al-Aqsa adalah lambang maruah umat Islam yang wajib dipertahankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelasnya, hasrat untuk menziarahi Masjid al-Aqsa timbul sejak empat bulan lalu ketika dia berada di Mesir.
Katanya, namun halangan syarat visa dan kos yang tinggi menyebabkan hasrat tersebut tertangguh.
“Ketika itu saya sudah pun membuat persiapan, malah sudah membeli basikal di Jeddah untuk tujuan kayuhan tetapi kos yang tinggi serta syarat visa 40 hari menyebabkan rancangan itu ditunda sehingga selesai menunaikan haji,” katanya.
Menurutnya, dia memilih bergerak secara solo ke Palestin tanpa sahabatnya, Azizul yang baru berkahwin.
Dari segi kewangan, Mohamad Al Bukhari menganggarkan perbelanjaan antara RM30,000 hingga RM40,000 diperlukan sepanjang kayuhan namun mengakui setakat ini dana yang dikumpul masih belum mencukupi.
“Saya yakin masyarakat yang prihatin akan tampil membantu kerana perjuangan ini bukan untuk saya seorang, tetapi membawa mesej solidariti buat seluruh umat Islam,” katanya.
Mengulas tentang persediaan, dia membawa makanan kering, alat ganti basikal, tayar, pakaian asas dan beberapa buah buku dan semua kelengkapan disusun rapi bagi memastikan kelancaran kayuhan.
Dia akan berkayuh dari Bagan Serai menuju ke sempadan Thailand di Bukit Kayu Hitam sebelum meneruskan perjalanan ke China, Uzbekistan, Tajikistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
“Saya akan singgah di Mekah terlebih dahulu menunaikan umrah. Dari situ barulah perjalanan diteruskan ke bumi Palestin bagi menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Menurut perancangan, kayuhan itu dijangka mengambil masa setahun hingga setahun dua bulan dengan purata jarak 60 hingga 70 kilometer setiap hari menggunakan basikal yang diubahsuai.
Katanya, usahanya itu mungkin kelihatan kecil berbanding misi besar lain seperti flotila kemanusiaan, namun percaya setiap langkah dan kayuhan tetap membawa nilai yang besar jika diniatkan demi perjuangan agama.
“Usaha ini hanyalah sedikit, tetapi cukup untuk membangkitkan kesedaran. Yang lebih besar adalah perjuangan saudara-saudara kita di Gaza dan juga masyarakat Malaysia yang bersama-sama menyokong misi flotila.
“Semoga usaha ini memberi impak positif dan menyemarakkan doa umat Islam untuk kebebasan Palestin,” katanya. – UTUSAN