SEKTOR pembuatan dianggarkan berkembang sebanyak 3.8 peratus pada 2025, didorong oleh pelaburan berterusan, dasar perindustrian yang progresif dan permintaan domestik yang stabil.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, sektor pembuatan terus mencatat pertumbuhan positif apabila meningkat sebanyak 3.9 peratus pada separuh pertama 2025, dipacu oleh prestasi kukuh industri berorientasikan eksport dan domestik.
“Industri berorientasikan eksport kekal sebagai penyumbang utama dengan pertumbuhan 4.8 peratus, disokong oleh segmen elektrik dan elektronik (E&E), khususnya permintaan komponen berkaitan pusat data serta kemunculan aplikasi kecerdasan buatan (AI) pada peranti hujung.
“Sementara itu, industri berorientasikan domestik meningkat 2.2 peratus sejajar dengan perbelanjaan isi rumah yang berterusan dan aktiviti pembinaan yang stabil,” katanya.
Bagi separuh kedua 2025, sektor pembuatan dijangka berkembang 3.6 peratus, seiring dengan prestasi stabil dalam semua subsektor.
“Peningkatan pelaburan dalam segmen semikonduktor serta pelaksanaan dasar sedia ada seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dijangka memperkukuh daya saing industri berorientasikan eksport melalui pengukuhan kluster perindustrian dan peluasan penggunaan teknologi digital.
“Selain itu, peningkatan aktiviti dalam kluster berkaitan perlombongan turut dijangka menyokong pertumbuhan industri berorientasikan eksport.
“Industri berorientasikan domestik pula akan terus didorong oleh penggunaan dalam negeri yang berdaya tahan, terutamanya dalam segmen barangan pengguna dan pembinaan.
“Permintaan terhadap produk makanan dan minuman serta pengangkutan dijangka meningkat seiring dengan aktiviti pelancongan yang rancak,” ujarnya.
Tambahnya, pada masa sama, pengeluaran bahan binaan seperti logam dan simen dijangka bertambah seiring prestasi kukuh sektor pembinaan. – UTUSAN










