BALING: Tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada merebak keseluruhan bangunan sebuah stesen minyak dalam kebakaran di Kampung Bandar, Mukim Siong, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.52 malam sebelum lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah pam minyak petrol di bahagian hadapan sebuah stesen minyak terbakar. Kejadian disedari oleh pekerja yang ternampak api selepas sebuah kenderaan selesai mengisi minyak.
“Kami menggunakan teknik pemadaman buih bagi menutup permukaan minyak petrol itu yang berisiko terbakar selain menutup injap utama. Peratus kemusnahan dianggarkan 70 peratus dan kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa, hanya struktur dan peralatan pam minyak sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zulkhairi berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk memadam kebakaran itu selain memastikan tiada lagi api di situ sebelum operasi tamat sekitar pukul 10 malam.
Katanya, punca kebakaran dan anggran kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN










