PETALING JAYA: Penyanyi, Misha Omar, 43, berpandangan amalan meminta tiket percuma untuk menonton konsert berbayar tidak wajar dinormalisasikan.
Malah Misha menganggap memberi tiket percuma sebagai tindakan yang tidak adil terutama sekali kepada kakitangan dan orang belakang tabir yang bekerja keras menjayakan konsert yang berkualiti.
“Memang ada individu yang minta tiket percuma untuk menonton persembahan saya. Tapi saya akan terangkan kepada mereka kenapa perlu membeli tiket kalau mahu menonton konsert.
“Disebalik sebuah konsert, ada ramai pekerja yang dibayar gaji. Antara mereka ada pemuzik berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing.
“Mereka ini dibayar selayaknya untuk menghidupkan persembahan terbaik seperti diinginkan penonton.
“Bila konsert itu eksklusif dan berbayar, kita tak akan tengok persembahan yang sama dengan konsert percuma. Perkara ini yang perlu kita terangkan kepada masyarakat supaya mereka faham kenapa perlu beli tiket,” katanya yang ditemui sewaktu sesi bersama media menjelang konsert Dia Misha Omar pada November ini.
Misha atau Samiha @ Aisah Omar dalam masa yang sama berterima kasih kepada peminat dan rakan artis yang sentiasa menyokong dengan membeli tiket setiap persembahannya.
“Ramai rakan artis yang membeli tiket untuk menonton showcase saya yang lalu. Mereka faham bahawa untuk menjayakan sebuah persembahan membabitkan tenaga kerja yang ramai. Jadi mereka tak pernah minta tiket percuma kepada saya.
“Malah suami, adik beradik, saudara mara saya, mereka semua sedia untuk membeli tiket untuk menonton konsert saya November ini. Ini cara mereka hargai penat lelah saya.
“Saya sendiri juga akan membeli tiket jika mahu menonton konsert artis lain. Namun, sekiranya saya tidak dapat hadir di saat akhir, saya akan jual tiket itu kepada mereka yang berminat,” jelasnya.
Misha pada 29 November ini, bakal menggegarkan Mega Star Arena Kuala Lumpur menerusi konsert Dia Misha Omar.
Tiket berharga antara RM288 hingga RM1,200 boleh ditempah menerusi https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar atau WhatsApp kepada 01116601122 bagi pembeli OKU.- UTUSAN