BERMULA dengan seorang budak kampung di Terengganu, Eman Manan mengatur langkahnya mengharungi selut duri sebagai pemain filem pada usia 26 tahun. Dengan aura jejaka Melayu perkasa, Datuk Rahim Razali memberikan kepercayaan kepadanya membawakan karakter Saiful bergandingan dengan nama hebat Noorkumalasari dan Azmil Mustapha menerusi Matinya Seorang Patriot (1984).
Dengan empat dekad pengalaman, Eman Manan atau Abdul Manan Embong, 67, bukan calang-calang. Beliau sudah membolot lebih daripada 13 pengiktirafan lakonan pelbagai anugerah termasuklah lima kali bagi kategori Pelakon Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia.
Pendek kata, dengan segala ilmu, perjalanan karakter dan rekod kejayaannya, Eman sudah layak jika mahu meninggalkan dunia di depan kamera dan duduk di kerusi juri meneliti naskhah yang ada.
Namun Eman tidak pernah terfikir untuk berenggang dengan dunia lakonan. Beliau mahu menekuni kerjaya ini sampai hujung nyawa.
“Saya bukan pelakon yang bagus, saya selalu rasa begitu. Perasaan begitu ada baiknya, supaya saya selalu ingat untuk sentiasa belajar, menambah ilmu seperti mana bertambahnya usia saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi pelakon Takluk: Lahad Datu itu, lakonan adalah sebuah proses interpretasi untuk menghidupkan watak. Menurutnya, proses itu akan gagal sekiranya hafalan skrip, persembahan ekspresi tidak sampai kepada penonton.
“Saya akan kecewa kalau kerja saya tidak ditonton. Sama juga macam penulis buku sebab pemikiran mereka tidak dihayati oleh orang.
“Oleh itu, jika saya mahu menyiapkan sesuatu yang sedap dan menyelerakan buat tetamu. Saya perlu pastikan ramuannya betul,” ceritanya.
Sudah melakonkan 78 karakter seumur hidup, di fasa ini, Eman cenderung meneliti skrip sebelum mengambil tawaran berlakon.
“Tidak dinafikan ada naskhah yang saya tidak sanggup terlibat. Karya tersebut selalunya membuatkan saya terfikir ‘mengapa skrip begini mahu dbuat filem?’
“Bagi saya alaf bukan hanya bermaksud tahun tapi juga peradaban. Jadi perlu ada juga perubahan kualiti pengkarya yang dikeluarkan setiap tahun.
“Filem ialah satu kerja yang mencantum seluruh seni. Bila kita hantar satu filem ke festival luar negara, seolah-olah kita menghantar satu negara.
“Orang luar akan menonton setiap perkara di dalamnya. Saya melihat peranan filem begitu besar, jadi perlu membuat pemilihan karya dengan betul,” katanya.
SKRIP Nadi FILEM
Tambahnya lagi, skrip adalah nadi yang akan menentukan kejayaan sesebuah filem. Tegas Eman, pengarah dan pelakon terbaik tidak akan mampu menyelamatkan filem daripada terjatuh ke nasib buruk jika dihasilkan dengan skrip yang longgar.
“Ada orang datang tunjuk saya skrip mereka dan katakan tulisannya bagus. Mungkin bagus bagi dia sahajalah. Skrip sangat penting dalam filem.
“Kalau orang tahu kita pergi tonton wayang, pertanyaan pertama yang akan keluar ialah ‘ceritanya bagaimana?’. Menunjukkan cerita adalah rangkuman keseluruhan filem,” katanya.
Pengalaman luas beliau dalam membaca dan menyunting skrip rakan-rakan seperjuangan seperti Anwar Idris dan U-Wei Hj Saari memberinya perspektif unik bukan hanya dari sudut teknikal, tetapi dari kaca mata seorang pelakon.
Bagi Eman Manan, setiap babak harus membawa fungsi sama ada membina konflik, membongkar watak, atau membawa cerita ke tahap yang lebih dalam.
Jika tidak, filem itu tidak akan dapat ‘mengurung’ penonton di dalam panggung, apatah lagi menyentuh emosi mereka.
“Kalau boleh kita mahu penonton rasa terkurung, tidak bergerak kemana-mana jika menonton filem.
“Selain itu, kita mahu penonton rasa setiap emosi yang kita mahu sampaikan sama ada marah, sedih atau sebagainya. Itulah filem yang benar-benar bagus,” katanya.