Aedy Asyraf bukan nama asing lagi dalam industri hiburan tempatan. Bermula seawal usia sepuluh tahun, dia menggambarkan setiap fasa dalam kariernya baik kejayaan mahu pun kegagalan telah membentuk siapa dirinya pada hari ini.
Membuka bicara, bagi Aedy, perjalanannya dalam bahtera seni itu dianggap sebagai perjuangan, prinsip dan kepercayaan yang tidak pernah goyah terutama dalam mengharungi cabaran dunia hiburan yang semakin mencabar.
“Saya percaya, Tuhan tidak pernah silap susun perjalanan hidup kita. Saya membesar dengan dunia seni tetapi dalam masa yang sama, saya membesar dengan banyak tekanan.
“Saya pernah gagal banyak kali. Ada masa orang lupa saya, ada masa saya rasa tidak cukup bagus tetapi bila difikirkan semula, itulah yang membentuk saya menjadi manusia sekarang.
“Saya jarang ada masa rehat. Kadang-kadang rasa sunyi juga tetapi saya tahu, kalau saya tidak kerja keras waktu itu, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.
Kongsi Aedy lagi, zaman remajanya tidaklah seindah orang lain. Ketika rakan sebaya sibuk dengan rutin sekolah dan masa lapang, kata Aedy, dia banyak menghabiskan masa di set penggambaran.
Biarpun bertahun-tahun menjadi pelakon di hadapan kaca lensa, Aedy mengakui dia masih berasa canggung setiap kali memulakan projek baharu.
“Saya masih rasa saya baru dalam dunia seni ini, setiap watak ada cabarannya sendiri. Saya tidak mahu main-main. Bila orang beri kepercayaan, saya kena bagi sepenuh hati,” ujarnya.
Bagi pelakon Tentang Bulan itu, lakonan bukan sekadar menghafal dialog atau menangis di hadapan kamera. Ia adalah seni menyelami jiwa manusia memahami emosi, merasai kesedihan, dan menyampaikan makna kehidupan dengan cara yang halus.
“Kalau penonton boleh menjiwai apa yang saya cuba lakonkan, itu sudah cukup bagi saya. Lakonan bukanlah tentang dikenang ramai sahaja tetapi tentang menitip rasa dalam jiwa penonton.
“Saya juga belajar untuk tidak terlalu tenggelam dalam watak. Kadang-kadang bila terlalu menjiwai, susah untuk saya keluar dari watak itu.
“Sekarang semua orang boleh jadi popular dalam sekelip mata tetapi saya percaya populariti tidak akan kekal jika tak ada nilai dalam kerja kita. Saya nak orang kenal kerana hasil, bukan sebab kontroversi,” tegasnya.
Tidak gemar dibandingkan
Selain itu, Aedy percaya bahawa setiap pelakon mempunyai perjalanan berbeza. Tidak ada jalan pintas dalam seni, katanya, jelas menunjukkan kematangan seorang anak seni yang telah lama menempuh asam garam dunia hiburan.
“Saya tidak suka bandingkan diri dengan orang lain. Rezeki masing-masing sudah tertulis. Apa yang penting, kita terus belajar dan buat yang terbaik,” ujarnya.
Ketika ditanya apa yang membuatkan dia terus bertahan selepas sekian lama, Aedy menjawab kerana dia minat apa yang dibuat.
“Saya masih rasa berdebar setiap kali di set. Selagi saya rasa debaran itu, saya tahu saya masih berada di jalan yang betul. Kadang-kadang saya nampak diri saya dalam watak-watak itu. Seperti satu cermin yang tunjuk siapa saya sebenarnya.
“Saya tidak perlukan gosip untuk kekal relevan. Saya percaya kalau kita buat kerja dengan jujur, orang akan nampak sendiri. Jadi saya belajar untuk lebih menghargai, lebih bersyukur dengan apa yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Majlis Pelancaran Filem Klepet di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam pada itu,Aedy juga tidak menolak bahawa dunia seni kadang-kadang bersifat kejam. Namun, dia memilih untuk kekal positif dalam mengukir nama dalam industri.
Apabila ditanya tentang masa hadapan, Aedy tenang memberikan jawapan. Katanya, dia tidak mahu merancang terlalu jauh.
Baginya, dia cuma ingin terus menghasilkan karya yang bermakna selagi ada peluang dan kehidupannya kini jauh lebih tenang serta menikmati setiap fasa dengan hati terbuka.
Menutup bicara, Aedy menitip pesan buat anak muda yang ingin menceburi dunia seni supaya jangan mengejar populariti tetapi kejarlah kejujuran dalam berkarya.-UTUSAN