KUALA LUMPUR: “Saya dan suami baik-baik sahaja.” Demikian jawapan penceramah Indonesia, Oki Setiana Dewi ketika ditanya berhubung kehidupan jarak jauh bersama suaminya, Ory Vitrio selepas selebriti itu berpindah ke Mesir.
Jelas Oki, dia dan anak anak akan tetap bertemu suaminya sekali setiap bulan sama ada ketika suaminya ke Mesir, dia ke Indonesia atau di lokasi lain yang bersesuaian dengan jadual masing-masing.
“Tentu bila kita menuntut ilmu, ada yang harus kita korbankan sedikit. Bukan tidak bertemu suami, dia tetap ada. Sebulan di Mesir dan sebulan di Indonesia.
“Dia masih ada kerja di Indoensia. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Kami lakukan ini demi pendidikan anak-anak. Suasana di Mesir dekat dengan Islam dan al-Quran.
“Kami berdua mahu anak-anak membesar dengan baik sebelum mereka meneruskan cita-cita mereka sendiri,” ujarnya.
Oki ditemui di program Cahaya Hati 1.0 anjuran One World Muslimah (OWM) yang mendapat tajaan daripada jenama terkemuka, Minaz.
Bercakap soal Cahaya Hati 1.0, Oki berkata, dia dan One World Muslimah sudah beberapa kali bekerjasama dalam penganjuran program berunsur Islam serta dakwah.
“Saya dan OWM sudah empat kali bekerjsama dalam program-program anjuranya. Lagipula saya hadir ke Malaysia untuk mempromosikan filem baharu, alang-alang saya hadir di sini untuk berkongsi ilmu.
“Ralat rasanya jika hadir ke Malaysia dan tidak bertemu rakan-rakan semua dalam satu majlis ilmu. Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan,” ujarnya.-UTUSAN










