DI tengah-tengah kawasan seni yang penuh warna di Hin Bus Depot, George Town, Pulau Pinang berdiri sebuah restoran kecil dengan nama yang cukup unik, Rumah Kacha.
Dari luar, ia kelihatan sederhana dengan dinding kaca dan suasana terbuka yang memberi rasa tenang, seolah-olah menjemput pengunjung untuk singgah dan menikmati kehangatan suasana di dalamnya.
Namun, di sebalik ketenangan itu, tersimpan kisah seorang anak muda yang berani mengambil langkah besar dalam hidupnya untuk menceburi dunia perniagaan makanan.
Pemilik restoran Rumah Kacha, Sharifah Nurul Nadia Al-Ghadwi, 32, bukanlah nama besar dalam dunia gastronomi, tetapi semangat dan ketekunannya menjadikan Rumah Kacha antara destinasi wajib bagi pencinta makanan di Pulau Pinang.


“Kami mula beroperasi sejak 2019. Masa itu bangunan ini kosong dan saya fikir, kenapa tidak cuba sesuatu di sini?” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Sharifah yang juga graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Kesusasteraan Inggeris itu mengakui, dia tidak pernah menyangka akan bergelar usahawan makanan.
“Saya sebenarnya langsung tiada latar belakang dalam kulinari sebab saya belajar dalam bidang bahasa. Tetapi, ibu bapa saya ada menceburkan diri dalam bidang jualan makanan dan saya juga pernah bekerja di beberapa kafe masa belajar dulu. Dari situlah saya kumpul pengalaman,” ujarnya.
RUMAH KACHA
Lokasi: Hin Bus Depot, Jalan Gurdwara, George Town, Pulau Pinang
Waktu operasi:
Selasa hingga Ahad (11.30 pagi–3 petang, 5–9.30 malam)
Harga makanan:
RM15–RM40
Konsep: Masakan
fusion Barat-tempatan
Tambahnya, inspirasi untuk membuka Rumah Kacha datang daripada peluang bekerja di Hin Bus Depot itu sendiri.
“Saya pernah kerja di sini sebelum ini. Bila nampak ruang kosong dan tahu tempat ini jadi tumpuan komuniti seni, saya rasa inilah masa terbaik untuk mencuba membuka sebuah restoran kecil di sini,” katanya.
Menurut Sharifah, ketika mula beroperasi, dia hanya menjalankan perniagaan bersama beberapa rakan dengan modal kecil dan menu yang sangat terhad.
“Masa mula-mula dulu, kami hanya jual pasta dan burger sahaja. Tapi bila sudah lama di sini, kami mula buat try and error dengan tambah menu baharu, ubah resipi, buang yang tak menjadi dan sebagainya,” katanya.
Kata Sharifah, usaha itu membuahkan hasil apabila pelanggan mula tertarik dengan keunikan gabungan masakan Barat dan cita rasa tempatan yang dibawakan Rumah Kacha.

“Antara menu paling digemari adalah pasta masak lemak udang, chicken rendang pasta dan tom yum pasta. Pelanggan luar negara pun suka sebab mereka boleh rasa elemen Malaysia dalam hidangan moden.
“Restoran ini berkonsep fusion with a local twist, hidangan barat dengan jiwa Melayu dan rempah ratus tempatan,” katanya.
Sharifah berkata, selain pasta, Rumah Kacha turut menawarkan pelbagai pilihan makanan seperti burger, hidangan panggang dan nasi bagi memenuhi cita rasa semua lapisan pelanggan.
“Kami sedar tidak semua orang suka pasta atau burger. Jadi, kami masukkan juga menu nasi dan lauk tempatan supaya semua peringkat umur boleh makan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai minuman pula, Sharifah berkata, Rumah Kacha menyediakan pelbagai handcrafted drinks buatan sendiri termasuk milkshake dan summer coolers.
“Kami tidak gunakan konsep kafe kopi seperti yang tengah trend, tapi kami mahu pelanggan rasa air yang kami hasilkan sendiri yang segar dan berbeza,” ujarnya.
Daripada segi harga pula, Sharifah berkata, adalah antara sebab pelanggan kembali. Dengan hidangan berharga antara RM15 hingga RM40, Rumah Kacha kekal sebagai pilihan mampu dinikmati tanpa mengorbankan kualiti.
“Yang penting bagi kami adalah konsistensi. Pelanggan yang datang kali pertama mesti dapat rasa yang sama bila datang semula,” katanya
Sharifah mengakui bahawa menguruskan restoran di kawasan tumpuan pelancong seperti Hin Bus Depot bukan perkara mudah.
“Cabaran utama adalah parkir. Kadang-kadang susah hendak cari tempat terutama hujung minggu. Tapi suasana di sini sangat hidup, penuh tenaga kreatif. Itu yang buat saya kekal di sini,” katanya.
Ditanya tentang perancangannya, Sharifah berkata, dia belum bercadang membuka cawangan lain kerana mahu fokus mengekalkan kualiti di cawangan asal.
“Kami mahu pastikan setiap pelanggan dapat pengalaman yang sama dari segi rasa, suasana dan layanan. Kalau kembangkan pun nanti, biar betul-betul bersedia,” ujarnya.
Sebagai anak jati Pulau Pinang, Sharifah berkata, dia berbangga dapat menyumbang sesuatu kepada industri makanan tempatan dan menjadi sebahagian daripada daya tarikan baharu di George Town.
“Saya harap Rumah Kacha boleh terus menjadi ruang yang bukan saja menjamu selera, tetapi meraikan seni, budaya dan komuniti. Itu semangat tempat ini,” katanya. – UTUSAN








