Saya bukan budak-budak mahu pergi kelab malam, itu pesta hari lahir - Beego - Utusan Malaysia

Saya bukan budak-budak mahu pergi kelab malam, itu pesta hari lahir – Beego

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Beego, 44, tidak menafikan individu yang menari dalam sebuah video yang tular adalah dirinya namun bukan di kelab malam seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Jelas Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, dia sekadar memenuhi jemputan teman karib meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anaknya di sebuah pusat karaoke eksklusif.

“Sejak saya jadi artis pada 2002 sampailah 2025, saya jaga ukhuwah dengan rakan-rakan dari semenanjung sampailah Sabah dan Sarawak.

“Bila mereka datang ke Kuala Lumpur dan buat pesta hari lahir anak di sebuah pusat karaoke, saya rasa tidak salah untuk hadir.

“Saya tidak pergi kelab malam, saya bukan budak-budak nak pergi Trec.

”Saya hanya duduk di tempat mewah tak kisahlah anda nak panggil tempat goyang, pusat karaoke, tapi bukan kelab malam,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pada Rabu.

Tambah Beego, dia mencabar mana-mana individu untuk tampil menunjukkan bukti dia berada di kelab malam seperti didakwa.

“Kalau ada video saya di kelab malam penuh orang ramai tunjuk bukti. Sebab saya tidak pergi. Lagipula video itu sudah lama, rambut masih bertocang,” katanya.

Beego mengulas dakwaan dua buah video memaparkan pelakon itu menari dan berhibur bersama wanita di kelab malam ketika prosiding perceraiannya bersama isteri yang juga selebriti, Linda Hashim sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Beego yakin video yang tersebar itu bukan dirakam dan disebarkan Linda namun mendakwa ada ‘mata-mata’ kenalan isteri yang sedang memerhatikannya.

Dalam perkembangan lain, Beego tidak menolak ada ruang untuk dia berbaik dengan bekas isteri kerana mereka kerap berhubung mengenai kebajikan anak sehingga hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini proses perceraian, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan tarikh 16 Disember depan bagi memfailkan lafaz taklik antara pelakon Beego dan Linda Hashim.

Menurut peguam mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan berkata, penetapan tarikh itu dibuat berikutan Linda belum memfailkan taklik.

Beego dan Linda pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 sekali gus hadir bersama ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Linda bagaimanapun memaklumkan mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali peluang diberikan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan, Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN