KUALA LUMPUR: “Saya bertanggungjawab atas apa yang telah saya lakukan sebelum ini.”
Demikian luahan pelakon, Uqasha Senrose yang mengaku kesilapan kerana membuka cerita perihal rumah tangganya kepada umun.
Uqasha mengakui perbuatannya itu salah justeru enggan mengulangi dan sedia berubah untuk menjadi manusia lebih baik.
“Saya minta maaf kepada semua atas video dan kapsyen (media sosial) saya sebelum ini yang telah mengundang kemarahan ramai orang, yang membuka aib sesiapa pun. Saya tidak berniat langsung.
“Saya tidak patut mencanang hal rumah tangga saya kepada umum. Saya akui, tindakan itu salah.
“Mungkin ketika itu saya tak fikir panjang sebab saya dalam keadaan marah, terlalu sedih dan penat.
“Namun itu bukan alasan untuk saya berbuat demikian. Saya minta maaf. Saya sepatutnya kendalikan masalah ini secara lebih matang dan tertutup,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram.
Uqasha pada 1 Oktober lepas memfailkan permohonan cerai atas alasan tiada lagi persefahaman dengan suami, Kamal Adli.
Pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dalam masa yang sama memohon maaf kepada keluarganya yang turut terkena tempias akibat konflik perkahwinannya.
“Dan saya ingin memohon maaf kepada keluarga saya kerana membuatkan mereka malu dan terkesan. Kepada ibu, saya minta maaf, dia ada bersama saya setiap masa.
“Saya nak ke depan mahu fokus terhadap diri sendiri, bangunkan diri untuk menjadi insan lebih baik, wanita yang lebih kuat dan paling penting ibu yang lebih baik.
“Seperti manusia lain, saya sedang belajar. Jadi inilah progress saya. Saya melangkah sedikit demi sedikit.
“Terima kasih buat yang memberi sokongan ketika jatuh bangun saya dan lebih-lebih lagi dengan apa yang berlaku sekarang ini.
Orang kata saya perlu dapatkan pertolongan. Ya, saya telah pun melakukannya. Saya ikut nasihat anda,” kongsinya.
Untuk rekod, Uqasha sah bergelar isteri Kamal pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – UTUSAN










