Sami warga Thailand didakwa cederakan lelaki tempatan

Sami warga Thailand didakwa cederakan lelaki tempatan

PHRA Phumin (dua dari kiri) ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, di George Town, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang sami warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang lelaki di Kampung Kebun Sireh, Jalan Raja Gopal di sini, Selasa lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Phra Phumin, 63, kerana dia tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris selain memerlukan bantuan jurubahasa bahasa Thai untuk membacakan pertuduhan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Puteri Nor Nadia memohon agar tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan memohon supaya satu tarikh sebutan semula kes dengan kehadiran jurubahasa Thai ditetapkan.

Phra Phumin sebelum itu berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata ke atas seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu, kira-kira pukul 5.30 petang di Kampung Kebun Sireh, Jalan Raja Gopal, George Town, dalam daerah Timur Laut.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain dikenakan hukuman denda atau sebat.

Hakim Juraidah kemudian menetapkan 7 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu kehadiran jurubahasa dan tidak membenarkan tertuduh dijamin buat masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN