KUALA LUMPUR: Rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) khususnya membabitkan tarif dimuktamadkan Ahad ini ketika lawatan Presiden Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, rundingan itu kini berada di peringkat akhir.
“Kita berada di peringkat akhir rundingan. Saya boleh sahkan pada hari Ahad ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan perdagangan antara Malaysia dan AS yang merangkumi isu tarif, perdagangan dan pelaburan kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Beliau berkata, Putrajaya berhasrat menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman awal dengan Washington, susulan maklum balas positif yang diterima sepanjang rundingan yang berlangsung sejak beberapa bulan lalu.
Anwar berkata demikian pada sesi taklimat bersama ketua-ketua pengarang sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Anwar turut menolak dakwaan bahawa kejayaan rundingan perdagangan antara AS dan China akan menenggelamkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini.
Tengku Zafrul berkata, rundingan dua hala berhubung tarif perdagangan antara Malaysia dan AS diadakan ketika lawatan Trump ke Kuala Lumpur hujung minggu ini.
“Rundingan mengenai tarif dijalankan secara dua hala antara AS dengan semua negara termasuk negara ASEAN. Bagi Malaysia, rundingan itu telah berjalan sejak beberapa ketika lalu,” katanya.-UTUSAN










