KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin berterima kasih kepada penyanyi, Datuk Seri Rossa yang menghargai lagu Sinaran dengan merakamkan semula karya yang dicipta arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi bersama komposer disegani, Allahyarham Adnan Abu Hassan itu.
Malah Nora, dalam satu hantaran di Instagram turut melayangkan pujian atas komitmen diberikan penyanyi tersohor Indonesia tersebut dalam menyelesaikan konflik hak cipta yang timbul susulan lagu itu dirakam semula baru-baru ini.
“Alhamdulilah, baru selesai berbicara dgn Datuk Seri Rossa. Beliau faham dan memandang serius tentang isu ini, beliau cukup beri kerjasama dan berharap agar dapat diselesaikan dgn cara terbaik.
“Terima kasih Rossa kerana menghargai karya Arwah Adnan Abu Hassan dan Johan Nawawi. Moga success ya, Thank you,” tulisnya.
Nora sebelum ini tampil mempersoalkan tindakan Rossa merakam semula lagu ikonik itu dalam EP terbaharunya berjudul Asmara Dansa.
Berikutan itu, Datuk Seri Rossa segera menghubungi penyanyi lagu Dendam Dalam Diam itu bagi menjernihkan keadaan susulan isu rakaman semula lagu Sinaran yang dibuat tanpa rundingan.- UTUSAN