Rompakan berkumpulan: Penganggur, penarik kereta mengaku tak bersalah

Rompakan berkumpulan: Penganggur, penarik kereta mengaku tak bersalah

KETIGA-TIGA tertuduh yang didakwa melakukan rompakan berkumpulan dibawa Kompleks Mahkamah Pulau Pinang bagi menjalani prosiding pendakwaan, hari ini. - UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dua penganggur dan seorang penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kondominium di Persiaran Gurney, pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh, K. Nagarajan, 52; S. Arunkumar, 24 dan R.Raman, 30, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan berkenaan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap M. Kasaevan,49, dan K.Kumaran, 40, dengan merompak 21 barangan di dalam rumah kondominium, kira-kira pukul 5 petang pada 7 Oktober lalu di Persiaran Gurney.

Atas kesalahan itu, pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ketika prosiding, jurubahasa turut membacakan senarai 21 barangan yang dirompak daripada mangsa iaitu sebuah kereta jenama jaguar warna biru, dua unit unit alat kawalan jauh jenama jaguar,sebuah dompet warna coklat, sebuah kotak warna coklat berlogo M, sebuah kotak kayu warna coklat, sebuah kotak warna perak, sebuah kotak warna warni.

Selain itu turut dinyatakan sebagai barangan yang dirompak ialah sebuah kotak warna merah bertulisan Alis Jewellers & Gems Sdn. Bhd., satu paket lutsinar di dalamnya, mengandungi tali warna kuning, sebuah beg kitar semula warna merah bertulisan grab mart, sebuah patung dewa warna keemasan berukuran lebih kurang 18cm, sebuah patung dewa warna keemasan berukuran lebih kurang 9.5cm.

Turut disebut ialah sebuah patung dewa warna keemasan berukuran lebih kurang 3.5cm, satu paket lutsinar didalamnya sebuah patung dewa warna keemasan berukuran lebih kurang 10cm, lapan bentuk gelang tangan warna keemasan, tiga utas rantai leher warna keemasan, dua pasang subang telinga warna keemasan, satu bentuk subang hidung warna keemasan, satu bentuk subang telinga warna keemasan, sebuah beg warna coklat dan tiga utas rantai leher warna keemasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh pertama dan kedua iaitu Nagarajan dan Arunkumar diwakili peguam, Mohamed Firdaus M. Farouk, tertuduh ketiga iaitu Raman diwakili peguam, K. Mahendran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN