KOTA BHARU: Kerja-kerja perobohan semua 233 pangkalan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand di negeri ini, mampu mengawal kemasukan lembu dan haiwan ternakan tanpa vaksin dari negara jiran yang berisiko membawa penyakit berjangkit seperti rabies.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, ia secara tidak langsung memastikan ancaman biosekuriti terhadap industri ternakan tempatan dapat dikawal sepenuhnya.
“Negara jiran mengisytiharkan penularan rabies. Haiwan yang diseludup tanpa vaksinasi boleh menjadi pembawa penyakit ini dan menimbulkan risiko besar kepada ternakan serta keselamatan makanan negara.
“Banyak syarikat telah membelanjakan jumlah pelaburan besar dalam membangunkan feedlot dan pusat pembiakan lembu daging serta lembu tenusu di negara ini. Namun aktiviti penyeludupan telah memberikan kesan tidak baik. Jadi dengan perobohan pangkalan haram itu mampu meningkatkan tahap keselamatan biosekuriti makanan negara,” katanya selepas Merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu(KADA) di sini, hari ini.
Isham berkata, perobohan itu membantu memperkukuh kawalan kemasukan sayur-sayuran dari negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Katanya, langkah itu membolehkan setiap kemasukan dapat dikawal dengan rapi.
Sementara itu, Isham berkata, pihaknya sudah menyalurkan hampir RM20 juta bagi melaksanakan kerja pembersihan sistem saliran sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
Katanya, selain itu stok penimbal dijamin mencukupi bagi menghadapi musim banjir termasuk simpanan beras. – UTUSAN










