PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta bagi memperkasa keupayaan lima agensi penguat kuasa utama negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Katanya, peruntukan itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi melalui latihan dan perolehan aset baharu bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta mengekang ketirisan hasil negara.
“Semua agensi ini sebelum ini berjaya mengumpulkan RM15.5 bilion hasil ketirisan yang ditemui di pelbagai peringkat, jadi tidak salah untuk kita menambah peruntukan RM700 juta bagi memperkukuh lagi usaha mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN










