RM10 juta tidak cukup tampung konsert antarabangsa

RM10 juta tidak cukup tampung konsert antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengumuman insentif sebanyak RM10 juta bagi penerbitan kandungan kenegaraan dan penganjuran konsert menerusi pembentangan Belanjawan Madani berupaya menarik pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, usaha itu merupakan satu langkah progresif dan inklusif oleh kerajaan terhadap dunia hiburan tempatan.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada kerajaan yang semakin memahami dunia hiburan. Ini kerana, di negara-negara lain seperti Thailand dan Singapura, kerajaan mereka sudah mula memperuntukkan bajet khas untuk penganjur menganjurkan acara atau konsert berskala besar yang mampu menarik pelancong luar.

“Langkah sebegini sangat baik untuk merancakkan ekonomi. Contohnya, apabila konsert besar seperti Taylor Swift diadakan di luar negara, ramai rakyat Malaysia yang sanggup membeli tiket dan berbelanja di sana. Ini bermakna, wang kita mengalir keluar dari Malaysia. Sebaliknya, kalau konsert sebegitu diadakan di Malaysia, aliran wang akan masuk ke dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebaliknya, pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, jumlah RM10 juta yang diperuntukkan disifatkan masih belum mencukupi bagi menampung kos penganjuran konsert bertaraf antarabangsa khususnya.

“Artis antarabangsa biasanya dibayar dalam mata wang asing seperti dolar AS atau Euro. Kos membawa nama besar seperti Coldplay atau Taylor Swift boleh mencecah beberapa kali ganda daripada bajet biasa.

“Memang bagus jika kerajaan mahu membawa masuk lebih ramai pemuzik antarabangsa, contohnya melalui festival atau acara hiburan lain. Namun, jumlah bajet yang diperuntukkan sekarang tidak cukup untuk menampung kos sebenar penganjuran.

“Tambahan pula, jika jumlah tersebut perlu diagihkan kepada beberapa penganjur, setiap pihak mungkin hanya menerima sedikit sahaja. Dalam keadaan itu, tidak banyak impak positif yang boleh dicapai,” katanya.

Rohit mencadangkan agar kerajaan melakukan kajian mendalam terhadap pulangan pelaburan (ROI) untuk memastikan dana tersebut benar-benar memberi manfaat kepada ekonomi dan industri hiburan negara.

Pengarah Urusan SAH Entertainment Malaysia, Azim Shah A. Rahman berkata, proses permohonan dan pembahagian dana perlu realistik mengikut kemampuan penganjur.

Menurutnya lagi, peruntukan yang diberikan tentunya akan dibahagikan kepada banyak pihak, menyebabkan impaknya mungkin tidak begitu besar jika tidak diurus dengan strategi yang jelas.

“Kos penganjuran konsert semakin meningkat setiap tahun. Jadi, penganjur perlu bijak mencari rakan kerjasama strategik dan penaja bagi memastikan keuntungan yang mampan. Jika bergerak sendiri, risiko kerugian memang tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×