GEORGE TOWN : Seorang rider atau penghantar makanan tidak menyangka bahawa perbualan singkatnya bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ketika menyertai konvoi Penang Rider Jalan Teruih, baru-baru ini memberi kesan yang besar terhadap kehidupannya.
Perkara tersebut dikongsikan oleh rider terbabit, Ahmad Ikram Ahmat Makbol, 31, di laman Facebook milik Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, hari ini.
Ahmad Ikram berkata, dia sempat berbual dengan pemimpin tersebut semasa Steven Sim membonceng motosikal miliknya dalam konvoi sejauh tiga kilometer (km) yang turut disertai oleh lebih 300 rider lain dari pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya itu.
“Atas motor tu, YB (Yang Berhormat) dok sembang dengan aku. Dia tanya awat (kenapa) buat dua kerja. Aku jawab, komitmen banyak. Nak bayaq (bayar) kereta, insurans, itu ini.
“Bila (apabila) aku sebut insurans aku RM590 (sebulan), YB nampak terkejut. Aku beritahu, sebab aku bayaq sekali untuk bini (isteri). Lepas tu senyap. Tak sangka apa-apa pun. Bagi aku, sembang tu habis kat situ ja,” katanya dalam hantaran tersebut.
Ahmad Ikram yang juga operator kilang di Bayan Lepas berkata, bagaimanapun, dia menerima mesej daripada pejabat Steven mengatakan bahawa pemimpin terbabit ingin berjumpa dengannya sekejap pada minggu lepas.
“Aku pun setuju la. Tapi dok fikir gak pasal apa depa (mereka) nak jumpa? Sampai-sampai saja, depa bagi tau. Benda ni dah lama YB minta depa bagi tau aku, tapi tak dan (tak sempat). Rupanya YB nak tolong bayarkan insurans aku dan isteri selama setahun,” tulisnya.
Lebih mengejutkan, kata Ahmad Ikram, Steven Sim turut bersetuju untuk membantu membiayai insurans anak kecilnya yang baru sahaja dilahirkan.
“Aku terdiam. Tak tau nak kata apa. Terkejut dan tak sangka rupanya YB ingat benda yang kami sembang masa atas motor. Memang terharu. Terima kasih banyak YB. Saya takkan lupa jasa baik YB,” ujarnya.
Terdahulu iaitu pada 21 September lalu, seramai lebih 1,500 penunggang motosikal di Pulau Pinang berkumpul bagi mendengar penerangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bersama Steven Sim.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang serta Penang Youth Development Centre (PYDC), program Penang Rider Jalan Teruih itu merupakan merupakan sebahagian daripada siri jelajah penerangan berhubung RUU Pekerja Gig yang diluluskan di Parlimen, baru-baru ini.-UTUSAN