PETALING JAYA: Hujan lebat dan angin kuat yang melanda ibu negara petang tadi mengakibatkan beberapa pokok tumbang menimpa kenderaan hingga menyebabkan seorang lelaki maut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima aduan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
Katanya, pasukan bomba telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan, pemotongan pokok serta memastikan keselamatan awam terjamin.
“Antara lokasi terjejas termasuk Jalan Metro Prima, Kepong Baru; Persiaran Dutamas, Taman Duta dan Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri.
“Seorang wanita berusia lingkungan 30-an cedera selepas kenderaan dinaikinya dihempap pokok tumbang di Jalan Metro Prima,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, seorang lelaki berusia 40-an disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) selepas kenderaannya dihempap pokok di Hartamas Regency, Persiaran Dutamas.
Tambahnya, semua kejadian berjaya ditangani dengan pantas dan kerja-kerja pembersihan telah dijalankan segera di lokasi terbabit.
“Pasukan bomba akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat,” katanya.-UTUSAN










