Remaja lemas di tali air, warga emas ditemukan dalam longkang depan rumah

Remaja lemas di tali air, warga emas ditemukan dalam longkang depan rumah

MAYAT remaja lelaki yang ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air di Kampung Alor Setol, Mukim Langgar di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan warga emas wanita berusia 88 tahun ditemukan lemas dalam kejadian berasingan di daerah ini dan Kubang Pasu, hari ini.

Dalam kejadian di Kampung Alor Setol, Mukim Langgar, di sini, remaja terbabit disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 10.04 pagi yang memaklumkan mengenai seorang remaja tidak sedarkan diri di tepi tali air berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan pelajar di sebuah sekolah di Pokok Sena telah keluar memancing bersama empat rakan sekitar pukul 9 pagi ini.

“Sewaktu berjalan di tebing tali air, mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam air. Rakan-rakannya cuba menyelamatkan namun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di sekitar tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sementara mayat dihantar ke Jabatan Forensik, HSB untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, warga emas yang dipercayai hilang sejak semalam ditemui lemas di dalam longkang besar di hadapan rumahnya di Kampung Pida 12 Lama di Jitra, Kubang Pasu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.46 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi, jasad seorang wanita warga emas berusia 88 tahun yang dipercayai hilang sejak semalam ditemui timbul oleh orang awam dalam longkang besar berkenaan.

“Anggota bomba kemudian menaikkan mangsa dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN