Reka bentuk abai risiko puting beliung

Reka bentuk abai risiko puting beliung

PENDUDUK membersihkan rumah yang terkesan akibat dilanda ribut di perumahan Jalan Manggis, Telok Panglima Garang, Selangor, minggu lalu.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perancangan bangunan dan kediaman di negara ini masih belum mengambil kira aspek bencana alam berskala besar seperti puting beliung dan taufan.

Ketua Kluster Kemampanan dan Kesihatan Bumi Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, hal ini kerana Malaysia bukan berada dalam zon bencana besar sekali gus menyebabkan aspek itu tidak dititikberat pemaju.

Bagaimanapun katanya, pem­bangunan yang mengambil kira risiko bencana alam akan meningkatkan kos pembinaan, sekali gus menjadikan harga rumah lebih tinggi dan sukar dimiliki rakyat.

“Setiap bangunan yang dibina di kawasan majlis daerah atau perbandaran perlu direka bentuk mengikut garis panduan yang ketat dan disahkan oleh arkitek serta jurutera bagi memastikan keselamatan terjamin.

“Spesifikasi bangunan bergantung kepada lokasi seperti kawasan tanah rata, cerun bukit atau kawasan berisiko banjir, selain turut mengambil kira faktor cuaca seperti curahan hujan dan kekuatan angin.

“Namun, sukar untuk me­ngambil kira fenomena bencana besar seperti gempa bumi, banjir besar atau puting beliung, kerana jika faktor-faktor ini dimasukkan dalam reka bentuk, kos pembinaan akan meningkat sehingga kebanyakan masyarakat tidak mampu untuk memilikinya”, katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini melaporkan, bencana ribut dan puting beliung yang berlaku di Kuala Langat telah merosakkan 40 rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai.

Ibrahim berkata, kekurangan pekerja mahir menjadi antara punca kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi, sekali gus menjejaskan kualiti dan ketahanan struktur bangunan. 

Katanya, rumah dan bangunan kos rendah berisiko mengalami kerosakan apabila berlakunya bencana alam berikutan kekangan sumber kewangan dan menyesuaikan bahan binaan mengikut bajet yang terhad.

“Ada segelintir kontraktor dalam projek kos rendah yang cenderung memotong kos untuk meraih lebih banyak keuntungan dan keadaan ini sering menyebabkan bangunan mudah menghadapi masalah, terutama ketika berlaku bencana,” kata­nya.

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Dr. Azlan Adnan berkata, pengurusan bencana di Malaysia masih banyak menumpukan kepada isu banjir dan tanah runtuh yang paling kerap berlaku.

Katanya, sebaliknya kejadian puting beliung boleh memberi kesan yang lebih besar kepada struktur bangunan dan infrastruktur.

“Kerajaan disaran memberi subsidi atau geran kepada pemilik rumah kos rendah untuk kerja baik pulih, terutamanya bagi mengikat atap dan me­nguatkan sambungan struktur supaya lebih selamat ketika cuaca buruk. 

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memastikan pelan binaan ikut garis panduan reka bentuk tahan angin mengikut piawaian MS EN1991-1-4 dan sesuai dengan zon angin di kawasan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN