'Reda ketentuan ilahi, tetapi mengapa tinggal dia?'

‘Reda ketentuan ilahi, tetapi mengapa tinggal dia?’

ROHANI Saad ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Lahar Tabut, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Ibu kepada Mustaqqeem Mansor iaitu pendaki yang ditemukan meninggal dunia di Gunung Liang, Perak Khamis lalu reda akan pemergian anak sulungnya itu dalam tragedi tersebut.

Rohani Saad, 64, berkata, dia bagaimanapun masih terkilan kerana anaknya ditinggalkan sendirian di atas puncak gunung terbabit.

“Soalnya, bukan pasal anak mati (meninggal). Kita reda, ini ketentuan Dia. Yang kita tak puas hati ni, pasaipa (mengapa) hampa (mereka) tinggai (tinggalkan) dia? 

“Lepas tu, tak buat repot polis. Isterinya pula yang buat laporan di balai polis Sungai Petani mengenai kehilangan Mustaqqeem,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Lahar Tabut, Penaga, di sini pagi tadi.

Tambah Rohani, arwah Mustaqqeem ada datang menemuinya sebelum bertolak ke Pahang sebelum itu.

Katanya, beliau mendengar pelbagai versi mengenai kejadian yang menimpa arwah dan mengetahui kaki anaknya kejang, namun, percaya keadaan masih terkawal kerana dimaklumkan ada malim yang menemaninya.

“Depa (mereka) cerita macam-macam. Katanya, enam jam cuba cari Mustaqqeem tapi tak jumpa, sedangkan pihak polis dan bomba naik (gunung) dan menemukan arwah dalam tempoh tiga jam. Arwah ada ja atas tu, tak pi mana (ke mana),” katanya menahan sebak.

Dalam pada itu, adik arwah, Muzammeer, 33, pula berkata, abangnya mula meminati kegiatan memanjat gunung itu bermula awal tahun ini selain berhasrat untuk menyertai ekspedisi Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal hujung tahun ini. 

“Saya berharap pihak polis akan melakukan siasatan terperinci untuk mengetahui kejadian sebenar yang menimpa arwah. Nanti kami sekeluarga akan membuat perbincangan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak,” katanya.

Terdahulu, jenazah Mustaqqeem, 34, selamat dikebumikan bersebelahan pusara datuk dan neneknya di sini selepas solat Subuh pagi tadi.

Pengebumian yang selesai kira-kira pukul 7.30 pagi itu dihadiri lebih 200 ahli keluarga serta kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah sebelum itu dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di Perak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN