Rawatan wajah hanya untuk wanita itu persepsi kolot - Fazley Yaakob - Utusan Malaysia

Rawatan wajah hanya untuk wanita itu persepsi kolot – Fazley Yaakob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menghampiri usia 50-an, penyanyi dan chef selebriti, Fazley Yaakob, lebih mengambil berat terhadap penjagaan diri dengan melakukan rutin rawatan wajah setiap minggu.

Menurut Fazley, 47, masyarakat tidak perlu berfikiran konservatif beranggapan rawatan wajah hanya perlu dilakukan oleh golongan wanita semata-mata.

“Orang yang berfikiran kolot ini selalunya di Facebook, setiap kali rakan artis saya melakukan rawatan wajah atau facial, pasti ada kecaman yang timbul.

“Namun, pada zaman ini, penjagaan penampilan adalah satu keperluan,” jelasnya.

Menurut penyanyi Bila April itu, masyarakat moden hari ini sering menilai seseorang berdasarkan penampilan mereka, tidak kira sekecil-kecil perkara seperti kuku sehingga bau stoking.

“Generasi muda kini lebih terbuka dan peka dengan pemilihan pakaian serta gaya rambut.

“Kita perlu sedar bahawa kita adalah tontonan masyarakat,” katanya, yang juga merupakan duta kepada pusat rawatan kecantikan, BMF The Aesthetic People.

Fazley ditemui di majlis pelancaran kempen penjagaan diri BMF x Svenson bertajuk ‘Still Me With More’ di Intermark Mall, baru-baru ini.

Sebagai seorang perunding imej untuk golongan korporat, Fazley menekankan betapa pentingnya penjagaan penampilan, terutamanya bagi eksekutif berpangkat tinggi.

Mengenai persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan lelaki yang menjalani rawatan kecantikan, Fazley berpendapat bahawa masalah ini boleh diatasi sekiranya lebih ramai artis lelaki dilantik sebagai duta bagi rawatan kecantikan.

“Di Korea, Jepun, Hong Kong, Bollywood, dan Hollywood, artis lelaki juga memakai solekan dan menjalani rawatan wajah.

“Masyarakat kita menerimanya dengan baik. Kenapa di sini, bila artis lelaki menjalani rawatan wajah, ia dilihat secara negatif?” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, kempen BMF x Svenson ‘Still Me With More’ ini adalah satu inisiatif yang menggalakkan masyarakat untuk memberi perhatian terhadap penjagaan diri secara menyeluruh, baik dari segi fizikal mahupun mental.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan di Universiti Malaya, serta pelakon Ezzanie Jasny. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN