KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon popular, Daiyan Trisha, berkongsi pengalaman peribadinya ketika dijangkiti virus Influenza A, yang disifatkannya lebih teruk daripada Covid-19.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Daiyan, 31, mengakui, dia biasanya tidak berkongsi keadaan kesihatannya dengan umum.
Namun kali ini, Daiyan merasakan penting untuknya membuat perkongsian susulan peningkatan kes jangkitan virus itu kebelakangan ini.
“Saya rasa sakit yang amat teruk, seolah-olah hendak mati. Ia bermula dengan sakit tekak, kemudian dalam sekelip mata saya jatuh sakit.
“Hari pertama saya langsung tidak bermaya dan hanya mampu baring di katil,” katanya.
Menurutnya, simptom yang dialami termasuk sakit kepala berterusan, sakit otot, kejang, cirit-birit dan menggigil pada waktu malam sehingga pernah pengsan di dalam tandas pada waktu subuh.
“Dua hari pertama adalah paling teruk. Hari-hari berikutnya sedikit lega tetapi masih tidak mampu melakukan banyak perkara.
“Keadaannya turun naik, sekejap rasa sihat, sekejap rasa teruk. Tapi syukur saya sudah pulih,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Penat itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah simptom kesihatan dan segera menjalani ujian sekiranya berasa tidak sihat.
“Jika dijangkiti, tolong kuarantin diri. Ini bukan masa untuk mementingkan diri sendiri. Virus ini sangat mudah berjangkit dan amat menyakitkan.
“Bayi dan kanak-kanak boleh menderita jika kita tidak berhati-hati,” katanya.
Dalam pada itu, Daiyan turut mengingatkan agar orang ramai mendengar isyarat tubuh, mengambil suplemen, minum air secukupnya dan menjaga keselamatan diri.-UTUSAN










