Rakyat Thailand ‘cemburu’ RON95 Malaysia RM1.99

Rakyat Thailand ‘cemburu’ RON95 Malaysia RM1.99

Seorang warganegara Thailand membuat pengisian petrol di sebuah stesen minyak tanpa subsidi di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Rakyat Thailand kagum dengan kemampuan Malaysia menjual harga bahan api RON95 dengan harga lebih rendah berbanding di negara mereka.

Harga RM1.99 seliter hasil subsidi kerajaan itu amat ketara dibandingkan di Thailand yang mencecah sehingga RM5 seliter bagi petrol yang setara dengan RON95 iaitu Gasohol 95.

Seorang peniaga di Songkhla, Walid Jehsohjehli, 37, berkata, dia kerap berkunjung ke Malaysia sama ada untuk bercuti bersama keluarga atau berjumpa kenalan lama ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) dahulu.

“Bulan lalu saya pernah pinjam motosikal rakan di Malaysia untuk pergi ke satu tempat, sebagai tanda terima kasih saya isikan semula petrol RON95 di stesen minyak bersamanya yang tak sampai RM10 sudah penuh tangki, ketika itu harga belum RM1.99 seliter.

“Beruntung rakyat Malaysia dapat isi minyak pada harga serendah itu kerana kalau bawa kenderaan Thailand kami tidak boleh isi Ron95, sebaliknya hanya mengisi RON97 yang sama macam Benzin 95 di Thailand,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Keseluruhan rakyat Malaysia yang layak kini mula menikmati harga petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.60 selepas kerajaan memperuntukkan kelayakan subsidi 300 liter sebulan untuk seorang.

Bagaimanapun Walid berkata, sebagai rakyat Thailand dia masih berbangga dengan negaranya yang tidak mengenakan caj tol di jalan raya berbanding negara ini.

“Jadi ada situasi menang-menang antara orang Malaysia dan Thailand, di sana minyak murah tetapi ada tol dan kami di sini pula walaupun minyak lebih mahal tetapi tiada tol, diharapkan apa jua langkah diambil dapat merancakkan ekonomi rakyat Malaysia yang terkenal dengan bercuti di selatan Thailand,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN