KLANG: Rakyat Selangor sudah bersedia meraikan majlis Isitiadat Pernikahan Diraja di antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz yang berlangsung hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, di sini mendapati lebih 2,000 orang rakyat negeri ini sudah berkumpul di hadapan dataran galeri itu seawal pukul 6 pagi bagi menyaksikan perkahwinan diraja itu.
Turut dilihat lebih 30 orang Orang Asli yang tinggal di Selangor turut sama hadir memeriahkan istiadat berkenaan.
Kebanyakan yang hadir berpakaian baju Melayu, baju kurung dan batik sebagai tanda hormat pada majlis ini.
Seorang pengunjung, asal Kuala Selangor, Noor Aqilah Ahmad Sufian, 37, berkata beliau teruja kerana ini kali pertama dapat menyaksikan istiadat perkahwinan diraja dari dekat.
“Saya kerja di Kuala Lumpur dan ambil cuti hari ini untuk hadir. Sudah lama keluarga kerabat diraja Selangor tidak melangsungkan perkahwinan. Saya doakan pasangan ini kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.
Utusan Malaysia pada minggu lalu melaporkan Tengku Amir akan melangsungkan pernikahan dengan Cik Afzaa Fadini di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohammad Munir Bani berkata, Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah. – UTUSAN







