KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Datin Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz pada istiadat pernikahan diraja di Istana Alam Shah, hari ini.
Beliau dikurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran ‘Datin Paduka Seri’ selepas diijabkabulkan dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, susulan pengurniaan darjah kebesaran tersebut, gelaran konsort kepada Raja Muda Selangor adalah ‘Yang Mulia’.
”Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah kebesaran tersebut yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Afzaa Fadini selepas beliau sempurna diijabkabulkan dengan Tengku Amir Shah.
”Pernikahan diraja itu diadakan dekat Masjid Istana Diraja, di Istana Alam Shah, Klang,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor dimulakan dengan istiadat perarakan diraja sejauh 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Jalan Istana menuju ke pintu utama Istana Alam Shah.
Tengku Amir Shah yang menaiki Roll Royce A1 bersama lima kerabat iaitu Penghulu Adat Istiadat Seri Amar Diraja Selangor, Engku Panglima Setia Diraja, Tengku Seri Perkasa Diraja, Tengku Orang Kaya Menteri Diraja dan Tengku Maha Kurnia Bijaya Diraja.
Rombongan tersebut diiringi, 16 jejawat terdiri daripada lapan pembawa payung serta empat pembawa lembing dan tombak.
Turut serta dalam perarakan tersebut adalah Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri dari Markas 11 Briged dan 15 Pasukan Kompang Diraja diketuai oleh Amirul Edzwan Jumali.
Perarakan yang disaksikan lebih 3,000 pengunjung yang hadir itu tiba di pintu utama Istana Alam Shah kira-kira 20 minit selepas istiadat bermula pada pukul 9 pagi. – UTUSAN










