KUALA LUMPUR: Kerajaan berisiko kehilangan kepercayaan rakyat sekiranya gagal mengekang ketirisan hasil negara yang semakin membimbangkan.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 jelas menunjukkan kelemahan sistemik dalam disiplin fiskal kerajaan apabila hutang Persekutuan kini mencecah RM1.248 trilion.
“Liabiliti keseluruhan negara turut meningkat kepada RM1.57 trilion, manakala hasil belum dikutip pula tertunggak lebih enam tahun.
“Laporan Ketua Audit Negara bukan sekadar angka, tetapi cerminan wajah sebenar kerajaan hari ini. Apabila kejujuran hilang dalam tadbir urus, rasuah bukan lagi dianggap jenayah kerana ia telah menjadi budaya,” katanya ketika membahaskan laporan LKAN 3/2025 di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal juga menegur kegagalan kerajaan mengawal kebocoran hasil akibat penyeludupan dan aktiviti kontraban yang didakwa berpunca daripada kelemahan sistem pemantauan kastam dan cukai.
Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika berada di Kenya, di mana sebuah syarikat milik anak Malaysia dilantik mengurus sistem pemantauan kastam dan berjaya meningkatkan kutipan cukai sehingga 20 peratus.
“Sekiranya Kerajaan Madani berani melaksanakan reformasi dan memperkenalkan sistem sama di Jabatan Kastam, saya yakin ketirisan hasil dapat dikurangkan, seterusnya subsidi minyak dapat ditampung tanpa perlu menambah hutang negara,” katanya.
Beliau kemudian membidas kelemahan kerajaan dalam pengurusan projek pembangunan apabila 8,755 projek bernilai RM312 bilion dilaporkan gagal atau lewat disiapkan, selain kerajaan tidak mengutip penalti berjumlah RM54.5 juta daripada kontraktor.
“Ini bukti disiplin fiskal kerajaan sangat longgar dan tahap akauntabiliti amat rendah. Ia bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi kelemahan struktur pentadbiran,” katanya.-UTUSAN










