Purata pendapatan isi rumah bulanan negara meningkat kepada RM9,155

Purata pendapatan isi rumah bulanan negara meningkat kepada RM9,155

AMIR Hamzah Azizan menunjukkan buku Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 mendedahkan purata pendapatan kasar isi rumah bulanan di negara ini meningkat kepada RM9,155, manakala pendapatan boleh guna bulanan purata mencapai RM7,584.

Ini bermakna, secara purata, isi rumah menggunakan 82.8 peratus daripada pendapatan mereka untuk menampung keperluan asas dan perbelanjaan harian.

Enam negeri mencatatkan pendapatan penengah melebihi paras nasional RM7,017, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM10,802), Putrajaya (RM10,769), Selangor (RM10,726), Johor (RM7,712), Pulau Pinang (RM7,386) dan Labuan (RM7,383).

Pulau Pinang menjadi negeri paling pesat berkembang dengan kadar pertumbuhan pendapatan tahunan sebanyak 6.4 peratus, manakala Perak menunjukkan kadar paling perlahan pada 2.1 peratus.

Angka ini mencerminkan ketidakseimbangan ekonomi wilayah yang masih wujud namun semakin baik berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, pendapatan isi rumah Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan berdaya tahan.

Kumpulan berpendapatan rendah atau B40 yang terdiri daripada isi rumah dengan pendapatan sehingga RM5,859 kini merangkumi 3.28 juta isi rumah, manakala kumpulan pertengahan atau M40 dengan pendapatan antara RM5,860 hingga RM12,679 terus menjadi segmen majoriti dalam struktur ekonomi isi rumah negara.

Bagi kumpulan berpendapatan tinggi atau T20, yang memperoleh pendapatan RM12,680 dan ke atas, agihan pendapatan menurun sedikit kepada 45.1 peratus berbanding 46.3 peratus pada 2022.

Sebaliknya, agihan bagi kumpulan B40 meningkat kepada 16.7 peratus, menunjukkan jurang pendapatan semakin mengecil.

Perkembangan ini turut disokong oleh penurunan Pekali Gini nasional kepada 0.390 daripada 0.404 pada 2022, menunjukkan ketidaksamarataan pendapatan di Malaysia semakin baik.

Dari sudut corak perbelanjaan, purata perbelanjaan bulanan isi rumah Malaysia meningkat 3.9 peratus setahun, mencecah RM5,566 pada 2024.

Sebahagian besar perbelanjaan masih tertumpu kepada empat kategori utama, iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang merangkumi 23.5 peratus; restoran dan perkhidmatan penginapan sebanyak 17.0 peratus; makanan dan minuman pada kadar 15.7 peratus; serta pengangkutan pada kadar 11.0 peratus.

Menurut laporan itu, peningkatan pendapatan boleh guna purata kepada RM7,584 membolehkan isi rumah menampung perbelanjaan asas dengan lebih selesa dan meningkatkan taraf hidup secara keseluruhan.

Saiz purata isi rumah kini seramai 3.7 orang dengan 1.8 penerima pendapatan, termasuk daripada pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, hasil pelaburan dan pemindahan semasa.

Selain itu, penurunan insiden kemiskinan mutlak kepada 5.1 peratus dan kemiskinan tegar kepada hanya 0.09 peratus mengesahkan bahawa sebahagian besar rakyat kini menikmati kehidupan yang lebih stabil secara ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN