PETALING JAYA: Walaupun berkongsi perairan yang sama dengan Thailand, namun pulau-pulau di Semenanjung Malaysia jauh ketinggalan daripada segi kedatangan pelancong berbanding negara jiran itu.
Carian Mingguan Malaysia di beberapa sumber mendapati pulau-pulau di Semenanjung tewas teruk kepada Thailand sama ada daripada segi jumlah ketibaan pelancong mahupun pendapatan.
Ekoran itu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 sesuatu yang drastik perlu dilakukan bagi mengurangkan jurang berkenaan dan meningkatkan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa.
Berdasarkan maklumat yang dikumpul Mingguan Malaysia ketibaan pelancong di pulau-pulau di Semenanjung Malaysia adalah sekitar lima juta orang tahun lalu dengan Langkawi merekodkan ketibaan tertinggi sebanyak 3.2 juta orang.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merekodkan seramai 38 juta pelancong asing mengunjungi negara ini sepanjang tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 31.1 peratus berbanding 29 juta pelawat asing pada 2023.
Namun, di Thailand, pulau-pulau di negara itu mencatatkan kedatangan tinggi pengunjung ke destinasi popular seperti Phuket yang menerima 8.65 juta pelawat pada tahun lalu.
Pulau Koh Samui pula menerima kedatangan 2.8 juta pelancong, manakala Koh Phi Phi pula merekodkan kira-kira 1.45 juta pengunjung pada 2023 dengan purata antara 4,000 hingga 6,000 pelawat setiap hari.
Antara faktor utama yang mendorong kepada kedatangan tinggi itu ialah akses penerbangan terus dari pelbagai bandar utama di Asia, Eropah dan Timur Tengah.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Hasan Mohamed Zakaria berkata, aspek connectivity atau kemudahan keluar masuk destinasi memberi kelebihan kepada pulau-pulau di Thailand untuk menjadi pilihan utama pelancong berbanding Malaysia.
Katanya, rangkaian penerbangan antarabangsa yang luas bukan sahaja menambah bilangan pelancong, malah membantu menurunkan kos perjalanan melalui persaingan tambang sekali gus menjadikan sesebuah destinasi lebih berdaya saing.
“Malaysia memang ada usaha memperkukuh ketersambungan antarabangsa, contohnya melalui Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dengan kemasukan syarikat penerbangan seperti flydubai dan IndiGo.
“Tetapi strategi ini masih memerlukan masa dan langkah lebih agresif untuk mencapai tahap setara dengan Thailand,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Cuti Hari Malaysia sebelum ini menyaksikan kehadiran pelancong ke Langkawi terus merosot antara 30 hingga 39 peratus berbanding tahun lalu sekali gus mencerminkan cabaran sama dihadapi pusat pelancongan lain utama negara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir dilaporkan berkata, berdasarkan data rasmi diperoleh daripada pihaknya, trend itu membuktikan semakin ramai pelancong domestik beralih destinasi ke luar negara khususnya ke selatan Thailand.
KUALITI PERKHIDMATAN
Mengulas lanjut, Hasan berkata, pelancong kini tidak lagi menilai sesebuah pulau hanya pada keindahan pantainya, sebaliknya lebih mengutamakan pengalaman pelancongan yang lengkap dan bermakna atau Memorable Tourism Experiences (MTE).
Katanya, kepuasan pelancong lebih bergantung pada kualiti perkhidmatan dan pengalaman tambahan seperti bengkel gastronomi, kelas memasak makanan laut tempatan, acara kebudayaan komuniti, bengkel kraf tangan, aktiviti pemuliharaan alam sekitar serta program hiburan malam seperti pasar malam, persembahan buskers dan pawagam terbuka.
“Apabila pengalaman ini digabungkan dengan layanan mesra, penyampaian maklumat yang jelas dan kemudahan berkualiti, pulau di Malaysia dapat menawarkan nilai yang lebih bermakna,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, aspek mobiliti dalam pulau turut menambah kos perjalanan kerana pelancong perlu bergantung kepada perkhidmatan e-hailing, teksi atau kereta sewa.
Katanya, Malaysia perlu menambah baik sistem pengangkutan awam seperti bas ulang-alik di pulau besar yang menghubungkan lapangan terbang, kawasan tarikan dan lokasi utama.
“Kemudahan seperti tiket digital bersepadu dan papan tanda dwibahasa juga penting untuk meningkatkan persepsi pelancong terhadap destinasi kita,” katanya.
Menurut Hasan, meskipun kos makanan dan penginapan di Langkawi dan Phuket hampir setara, namun suasana atau vibe yang ditawarkan kedua-dua negara itu berbeza mengikut pilihan pelancong.
Katanya, pengusaha pelancongan di pulau perlu diperkasa dengan kemahiran hospitaliti melalui latihan berstruktur sekali gus memastikan pelancong bukan sahaja terpikat dengan keindahan alam tetapi juga dengan keramahan masyarakat setempat.
“Thailand terkenal dengan suasana malam yang meriah serta festival berterusan sepanjang tahun. Malaysia perlu membina identiti tersendiri berasaskan budaya tempatan, warisan geopark UNESCO, pengalaman mesra Muslim dan halal, selain aktiviti komuniti setempat yang autentik. Ini yang boleh menjadi tarikan unik kita.
“Semua pihak perlu memainkan peranan secara lebih konsisten menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dengan menekankan aspek connectivity, pengalaman pelancongan bermakna, kelestarian alam sekitar dan keunikan tersendiri agar pulau-pulau di negara ini benar-benar mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia dalam kalangan pelancong domestik mendapati rata-rata mereka masih memilih destinasi luar negara terutamanya Thailand kerana pengalaman pelancongan yang lebih berbaloi termasuk penginapan, aktiviti hiburan dan kemudahan lain yang lebih pelbagai.
KEINDAHAN SEMULA JADI
Seorang peniaga, Mohamad Azreen Mat Isa, 32, bersetuju bahawa destinasi tempatan menawarkan keindahan semula jadi, namun katanya, pilihan hiburan dan kemudahan tambahan di Malaysia masih terhad jika dibandingkan dengan negara jiran itu.
Katanya, dia gemar melancong ke Thailand kerana mendapat pengalaman yang lebih berbaloi dengan bajet yang ditetapkan.
“Jika dibandingkan, saya boleh menikmati penginapan tiga malam di hotel empat bintang di Thailand dengan harga yang sama seperti satu malam di hotel lima bintang di Kuala Lumpur.
“Malah, akses mudah ke pelbagai tarikan dan kemudahan hiburan malam membuatkan pengalaman percutian di Thailand lebih menyeronokkan,” katanya.
Selain itu, seorang pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Awanis berkata, dia memilih destinasi luar negara kerana aktiviti yang ditawarkan lebih pelbagai dan fleksibel berbanding di Malaysia.
“Di pulau-pulau tempatan, pilihan hiburan dan kemudahan tambahan masih terhad, jadi saya terpaksa menyesuaikan perancangan percutian mengikut kemampuan dan masa yang ada.
“Pada saya, pengalaman pelancongan yang bermakna bukan sahaja bergantung kepada keindahan semula jadi, tetapi juga aktiviti tambahan dan kemudahan yang boleh memberi keseronokan dan kepuasan kepada pelancong,” katanya.-UTUSAN










