BUTTERWORTH : Seramai 137 pegawai penguatkuasa dan 60 pegawai pemantau harga (PPH) dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang akan ditempatkan di seluruh negeri ini bagi memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, pemantauan selama tujuh hari bermula hari ini itu bertujuan untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika yang cuba mengambil kesempatan ketika musim perayaan.
“Kesemua pegawai-pegawai ini akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah sepanjang tempoh terbabit.
“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi harga yang telah ditetapkan serta menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan,” katanya kepada pemberita sempena pelancaran SHMMP Deepavali 2025 di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Skim harga kawalan itu melibatkan sembilan jenis barangan yang akan dikawal sepanjang tempoh pelaksanaannya termasuk daging kambing biru-biri bertulang import, tomato, cili merah dan kelapa biji iaitu harga maksimum yang ditetapkan di peringkat borong sahaja.
Barangan lain ialah kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), bawang merah besar import serta kacang dal dari Australia.
Pelaksanaan skim berkenaan akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.
Dalam pada itu, Jegan memberitahu, sejak 1 Januari lalu hingga kini, pihaknya telah memeriksa sebanyak 63,939 premis perniagaan di seluruh Pulau Pinang.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 777 kes melibatkan pelbagai kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan membabitkan sitaan keseluruhan bernilai RM2.985 juta serta kompaun berjumlah RM386,400.
“Selain itu, dari 1 Januari hingga 15 Oktober juga, sebanyak 2,085 aduan diterima. Daripada jumlah tersebut, 931 daripadanya adalah aduan berkaitan harga barangan dan perkhidmatan, 170 aduan mengenai bekalan barang kawalan manakala selebihnya 984 aduan berkaitan isu lain,” katanya.-UTUSAN