Proton jual 114,297 unit kereta setakat September - Utusan Malaysia

Proton jual 114,297 unit kereta setakat September

PROTON e.MAS 7
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. terus cemerlang apabila berjaya menjual sebanyak 42,141 unit kereta pada suku ketiga, melonjakkan jumlah jualan tahun hingga kini (YTD) mencecah 114,297 unit dengan 0.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang berkata, pada September sahaja, sebanyak 13,395 unit terjual bagi domestik dan eksport meskipun jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan menurun sebanyak 21.7 peratus kepada sekitar 57,169 unit.

“Berdasarkan keputusan ini, pegangan pasaran Proton dianggarkan berada pada 23.4 peratus untuk September dan 19.9 peratus bagi YTD. 

“Angka ini adalah yang tertinggi tahun ini dan selari dengan usaha syarikat untuk melepasi 20 peratus penguasaan pasaran automotif pada 2025,” katanya dalam kenyataan.

Proton X50 yang baru dilancarkan terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling laris di negara ini. 

Sebanyak 3,438 unit diserahkan pada bulan kedua penuh jualannya, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai peneraju segmen dan SUV nombor satu di Malaysia. 

Data jualan menunjukkan 88 peratus pembeli Proton X50 terdiri daripada pemilik yang menaik taraf kenderaan mereka manakala 33 peratus pula merupakan pelanggan baharu Proton. 

Sehingga akhir September, jumlah jualan YTD bagi model itu mencecah 21,154 unit dengan peningkatan sebanyak 24.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton X70 turut mencatat pertumbuhan positif dengan jumlah jualan YTD sebanyak 6,033 unit pada September menunjukkan peningkatan 10.1 peratus berbanding 2024. 

Sementara itu, Proton X90 pula mencatatkan sebanyak 194 unit yang berjaya dijual, mengekalkan statusnya sebagai SUV segmen-D paling laris di pasaran. 

Menurut Zhang Qiang, jualan Proton pada September menunjukkan produk terus mendapat tempat di hati pelanggan. 

“Prestasi kukuh pada suku ketiga 2025 memberi keyakinan untuk kami membawa momentum ini ke suku akhir bagi mencapai sasaran jualan selain menjadi landasan penting untuk memasuki tahun 2026,” katanya.

Selain itu, Proton International Sales Corporation iaitu anak syarikat yang menguruskan pasaran eksport, mencatatkan pencapaian tertinggi tahun ini sebanyak 815 unit terjual pada September. 

Jumlah itu menjadikan jumlah jualan eksport YTD sebanyak 3,959 unit iaitu peningkatan 56 peratus berbanding tahun lalu sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton sebagai jenama automotif eksport utama Malaysia.

Kejayaan eksport banyak digerakkan oleh Proton X50 yang mencatat pertumbuhan jualan 220 peratus pada tahun ini disokong oleh Proton Saga dengan pertumbuhan sebanyak 14 peratus manakala Proton e.MAS 7 semakin mendapat perhatian dengan 443 unit telah dieksport setakat ini. 

Singapura menjadi negara ketiga untuk menerima EV pertama Proton pada September dan Mauritius yang bakal menyusul hujung bulan ini, prospek pertumbuhan EV di pasaran luar negara dilihat semakin cerah. 

Menerusi pasaran tempatan, Proton e.MAS 7 mengekalkan kedudukannya sebagai EV paling laris di Malaysia dengan 845 unit terjual pada September menjadikan jumlah keseluruhan 6,656 unit hanya dalam sembilan bulan.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×