KUALA LUMPUR: Program Cahaya Hati 1.0: Bangkitlah Jiwa, Temui Cahaya Bahagia bertujuan membantu golongan wanita yang berdepan tekanan hidup, depresi dan kekosongan jiwa agar kembali menemui ketenangan melalui pengisian rohani dan pendekatan keimanan.
Menurut penganjur program merangkap Presiden OWM, Noor Razlina Noor Mohamed, penganjuran tersebut tercetus selepas melihat semakin ramai wanita kini berdepan cabaran emosi dan mental yang serius.
“Ramai wanita datang kepada kami dalam keadaan tertekan, kecewa dan hilang semangat. Program ini diwujudkan untuk membantu mereka mencari ketenangan melalui ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Ada di antara mereka yang mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana untuk mereka mencari ilmu serta pengisian rohani. Oleh sebab itu, Cahaya Hati 1.0 ini antara program anjuran One World Muslimah yang membantu mereka,” katanya ketika ditemui di Matrade, di sini.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran aktres dan pendakwah tersohor Indonesia yang dibawa khas dari Mesir , Ustazah Dr Oki Setiana Dewi dan pasangan adik beradik, artis dan aktivis kemanusiaan antarabangsa Datin Heliza Helmi dan Hazwani Helmi atau dikenali sebagai The Helmis dengan kehadiran lebih 1,000 peserta termasuk dari Singapura , Indonesia dan Brunei.
Sementara itu, Oki berkata, dia terpanggil untuk bersama dalam program tersebut kerana merasakan majlis ilmu sebegini penting untuk mendidik dan menyembuhkan hati wanita.
“Saya datang bukan sekadar untuk menyampaikan ceramah, tetapi juga untuk bermuhasabah bersama. Kalau ada yang menangis ketika mendengar, mungkin itu tandanya Allah sedang menyapa hati mereka,” katanya.
Program Cahaya Hati 1.0 turut mendapat sokongan jenama fesyen Muslimah terkemuka Minaz.
Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza’Abdul Hamid, yang turut dijemput sebagai penceramah berkata, komitmennya terhadap kesejahteraan holistik wanita melalui sokongan bukan hanya berbentuk penajaan dana, tetapi
manifestasi komitmen jenama itu membina komuniti wanita yang bukan sahaja bergaya elegan, tetapi juga memiliki ketahanan emosi dan kekuatan spiritual.
“Di Minaz, kami percaya kecantikan sejati bermula dari dalam. Kami bukan sekadar menjual pakaian, kami mendukung perjalanan setiap Muslimah untuk merasa yakin, tenang, dan berdaya. Melihat cabaran emosi dan mental yang semakin membebankan wanita hari ini, kami terpanggil untuk memberi sokongan penuh kepada Program Cahaya Hati 1.0 ini,” ujarnya.
Tambah Hafiza, Keterlibatan Minaz dalam program berimpak ini adalah refleksi jelas terhadap nilai teras jenama untuk bukan sahaja memperindahkan penampilan luaran, tetapi juga menyokong kekuatan dan ketenangan jiwa dalaman wanita.
“Kami percaya kecantikan sejati bermula dari dalam dan kami mendukung setiap Muslimah untuk merasa yakin, tenang dan berdaya saing membina komuniti wanita yang elegan. Ini kali pertama kami berkerjasama dan Minaz sendiri sentiasa memberi sokongan untuk program-program kerohanian seperti ini,” ujarnya.
Susulan sambutan menggalakkan, One World Muslimah merancang untuk meneruskan kesinambungan program itu melalui ‘Cahaya Hati 2.0’ pada Disember ini dan seterusnya membawa ‘Cahaya Hati 3.0’ ke Brunei sebagai langkah memperluas manfaat kepada komuniti Muslimah di peringkat antarabangsa.
Noor Razlina berkata, penglibatan penceramah dan selebriti berpengaruh dalam program seperti ini juga dilihat mampu menarik minat lebih ramai wanita untuk hadir dan mendapatkan kekuatan rohani.-UTUSAN










