PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh mengundi awal pula pada 25 November.
Katanya, mesyuarat diadakan susulan SPR menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undang Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu.
“Susulan pemakluman itu, mesyuarat khas menentukan tarikh penamaan calon, mengundi awal dan mengundi bagi 73 DUN Sabah diadakan hari ini.
“Justeru, SPR menetapkan bahawa tarikh penting bagi PRN adalah 15 November (Sabtu) bagi penamaan calon, 25 November (Selasa) bagi mengundi awal dan 29 November (Sabtu) hari mengundi bagi semua 73 DUN Sabah,” katanya dalam sidang akhbar PRN DUN Sabah Ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Beliau berkata, SPR menubuhkan 86 pasukan penguatkuasaan pilihan raya yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh berkempen.
“Jumlah daftar pemilih yang digunakan adalah membabitkan pemilihan tambahan sehingga 5 Oktober 2025 melibatkan 1,784,843 pengundi,” katanya. – UTUSAN